Setelah mencipta sejarah dalam Liga Malaysia (Liga-M), kini Diogo Santo pulang ke Liga 1 Thailand setelah dua tahun bersama Johor Darul Ta’zim (JDT). Diogo mula beraksi bersama aksi pada tahun 2019 setelah berpindah dari kelab Buriram United dari Thailand.
Di akhir musim 2018 sebelum berpindah ke JDT, Diogo telah membantu Buriram United menjuarai Liga 1 Thailand selama dua tahun berturut-turut.
Kini, melalui laman rasmi kelab BG Pathum, Diogo Santo telah sah menjadi milik kelab tersebut untuk jangka masa yang tidak dimaklumkan. Diogo dijangka akan bergandingan dengan seorang lagi bekas pemain JDT, Norshahrul Idlan Talaha atau dengan nama panggilannya ‘Mat Yo’. Mat Yo menyertai BG Pathum pada awal musim ini selepas bersama pasukan Pahang.
BG Pathum sebelum ini menggunakan nama kelab Bangkok Glass. Kelab ini diuruskan oleh sebuah syarikat, BG Sports Company Limited yang juga merupakan anak syarikat Bangkok Glass Public Company Limited yang mempunyai stadium berkapasiti hanya sekitar 11,000 sahaja.
JDT pernah pernah bertandang beraksi melawan Bangkok Glass di Stadium Leo pada 10 Februari 2015 dalam saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL). Tahun pertama dalam perlawanan kedua kelayakan itu, JDT tewas 0-3 di tangan BG Pathum. Ketika itu skaud JDT berada di bawah kendalian Bojan Hodak.
Pasukan baharu Diogo kini berada di atas tangga Liga 1 Thai mendahului Port FC dengan beza 7 mata. Tidak mustahil Diogo Santo juga akan turut sama-sama bersaing dalam ACL bersama-sama dengan kelab JDT namun kumpulan yang berlainan pada musim 2021.
BG Pathum telah berjaya menempah tiket ke ACL 2021 melalui tiket kedudukan pertama Liga 1 Thai pada separuh musim pertama iaitu selepas 15 perlawanan. BG Pathum hanya bersaing dengan Port FC. Setakat ini hanya JDT (Malaysia), Viettel (Vietnam) dan BG Pathum (Thailand 1) telah mengesahkan tempat ke ACL 2021 peringkat kumpulan. Thailand 2 dan Singapura akan mngisi baki dua slot dari Asia Tenggara.
Diogo Santo dikhabarkan merupakan pemain import Liga Malaysia yang paling mahal sebelum ini dan diberitakan juga gaji beliau bersama BG Pathum mencecah RM400,000 sebulan.
Diogo Luis Santo juga telah mendapat status sebagai pemain termahal dalam Liga Super musim lepas dengan nilai pasarannya ketika itu dianggarkan mencecah £900,000 (RM4.8 juta). Kini mengikut laman sesawang transfermarkt.comhari ini nilainya turun ke £585,000 (RM3.4 juta), namun ia masih yang paling mahal pada usia beliau yang telah menjangkau 33 tahun.
Pembelian Diogo tidak sia-sia kerana telah menyumbang jaringan sebanyak 20 gol untuk JDT pada musim lepas. 12 daripada gol tersebut adalah dari Liga Super Malaysia. Beliau juga turut mencatat sebagai penyumbang gol penalti dengan jaringan 4 gol kesemuanya di musim lepas.
Perginya Diogo Santo ke kelab pendahulu Liga Thai 1 sudah tentu akan membawa nama JDT bersama. Lebih-lebih lagi BG Pathum berpeluang cerah ke ACL 2021 bersama JDT nanti. Selamat tinggal Diogo. Semoga berjaya bersama BG Pathum.
Difahamkan melalui satu sumber, selain Diogo, tujuh lagi pemain turut menerima gaji bulanan yang besar dimana BG Pathum mula membawa masuk pemain berprofil tinggi dalam usaha mereka untuk memenangi takhta Thai League 1.
Berikut adalah penerima gaji bulanan tertinggi di BG Pathum United.
- Diogo Luis Santo = RM408 Ribu sebulan.
- Victor Cardozo = RM136 Ribu sebulan
- Teerasil Dangda = RM98 Ribu sebulan
- Andres Tunez = RM95 Ribu sebulan
- Sarach Yooyen = RM81 Ribu sebulan
- Mitsuru Maruoka = RM81 Ribu sebulan
- Thitipan Puangchan = RM74 Ribu sebulan
- Sumanya Purisai = RM74 Ribu sebulan
Photo : The Photoshooterz, BG Pathum