Piala AFC 2020 terpaksa dihenti dan batalkan susulan pandemik Covid-19. Ketika itu tiada pasukan dari Malaysia yang terlibat. Perlawanan yang terakhir pada 11 Mac ditunda dan sepatutnya disambung semula pada 23 September akhirnya terpaksa dihentikan terus.
Format Piala AFC bagi musim 2021 pula nampak lebih menyenangkan selepas tiada lagi aksi di laman sendiri dan di tempat lawan bagi perlawanan peringkat kumpulan seperti kebiasaannya sebelum ini.
Ini disebabkan oleh perubahan format bagi pertandingan divisyen dua peringkat Asia itu apabila perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung di satu venue khusus yang bakal ditetapkan nanti.
Mengikut format baharu tersebut, setiap pasukan hanya akan beraksi untuk tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari. Saingan dijangka akan bermula pada April tahun depan.
Datuk Windsor Paul John, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), mengesahkan perkembangan itu namun telah memaklumkan venue khusus untuk perlawanan itu masih lagi belum ditetapkan lagi.
“Ya (mengenai format baharu). Tetapi kita akan memberi pengumuman rasmi mengenai perkara itu dalam masa yang terdekat. Venue untuk Piala AFC juga akan diputuskan nanti.
“Perkembangan ini pun telah dimaklumkan kepada semua persatuan kebangsaan. Setakat ini, ia hanya membabitkan saingan Piala AFC. Bagi saingan Liga Juara Juara Asia (ACL), kita belum putuskan lagi bagaimana,” katanya.
Dua wakil negara akan bertanding di pentas Piala AFC musim depan iaitu Kedah (naib juara Liga Super) dan Terengganu FC (TFC) (tempat ketiga Liga Super) selepas Piala Malaysia terpaksa dibatalkan.
Pencapaian terbaik wakil negara di Piala AFC adalah menjuarai edisi 2015 menerusi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya menewaskan wakil Tajikistan, Istiklol 1-0 pada aksi final di Dushanbe.
Bagi kejuaraan ACL 2021 Zon Timur Asia pula, JDT menjadi wakil tunggal negara bersaing dalam peringkat kumpulan kejuaraan kelas pertama Asia.