Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 telah melabuh tirainya dengan pelbagai kisah. Liga Super hanya dijalankan satu pusingan sahaja iaitu 11 perlawanan mengikut separuh sahaja daripada perancangan dan jadual asal. Piala FA dibatalkan tanpa sebarang perlawanan.
Manakala Piala Malaysia sempat dilangsungkan tidak sampai ke peringkat suku akhir sudah dihentikan. Semuanya susulan dari pandemic Covid-19. Arahan keputusan itu dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akur dengan arahan tersebut walaupun rayuan telah ditolak.
Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak terkecuali terkesan dengan keputusan tersebut. Pada musim ini, JDT hanya beraksi sebanyak 14 perlawanan sahaja termasuk dua perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang telah dibatalkan akibat dari penarikan diri JDT.
Ini berbeza dengan jumlah perlawanan sebelum-sebelum ini yang menyaksikan 40 perlawanan pada 2019, 43 perlawanan pada 2018 dan 47 perlawanan pada 2016 dan 2017.
Namun, walaupun jumlah perlawanan yang sedikit pada musim ini, JDT mampu menonjolkan dua senjata baharu mereka dengan bukan sahaja memberi peluang penampilan pertama mereka, malah kedua-dua senjata tersebut mampu menghadiahkan kepercayaan Benjamin Mora dengan masing-masing menjaringkan gol.
Penampilan pertama dan gol peribadi mereka pertama dalam musim yang sama mereka membuat ‘debut’ adalah sesuatu yang menakjubkan.
Dua senjata tersebut adalah Muhammad Ramadhan Saifullah, 19 tahun dan Arif Aiman Hanapi, 18 tahun. Kedua-dua mereka datangnya dari pasukan kedua JDT iaitu JDT II, di mana mereka digilap dan didedahkan pengalaman beraksi dan bersaing dalam Liga Perdana.
Ramadhan Saifullah (19 tahun).
Ramadhan diberi kepercayaan membuat penampilan pertama beliau pada 28 Ogos lalu melalui perlawanan JDT menentang Pahang (LS5) di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Beliau membuat ‘debut’ bukan dari bangku simpanan, malah telah disenaraikan dalam kesebelasan utama JDT menentang bukan calang-calang pasukan. Pahang merupakan rival dan musuh ketat JDT bukan setakat di dalam padang malah di luar padang (penyokong) juga.
JDT menang perlawanan itu dengan jaringan 3-2. Dalam perlawannan yang sengit itu, Ramadhan turut membantu menyumbang 1 gol kepada JDT pada minit ke 15 perlawanan.
Perlawanan bersejarah buat Ramadhan malam itu. Penampilan pertama, pertama kali tersenarai dalam kesebelasan utama dan menjaring gol peribadi pertama (debut) malam itu berdepan dengan pasukan yang handal.
Ramadhan seterusnya telah membuat penampilan berterusan sehingga ke akhir Liga Super 2020 termasuk pusingan awal Piala Malaysia 2020. Daripada 7 penampilan itu, beliau berada dalam senarai utama sebanyak 3 perlawanan dan gentian sebanyak 4 perlawanan.
Namun beliau masih belum diberi peluang beraksi sepenuh masa 90 minit. Jumlah minit bermain Ramadhan adalah sekita 274 minit.
Ramadhan turut menyumbang 4 gol pada musim ini iaitu dalam perlawanan menentang Pahang (3-2), Perak (7-0) dan Selangor (6-1). Menariknya setiap jaringan Ramadhan turut diikuti oleh jaringan penjaring terbanyak sepanjang musim JDT, Gonzalo Cabrera.
Senjata baharu JDT itu juga turut mencipta rekod peribadi beliau dengan menjaringkan 2 gol dalam perlawanan menentang Selangor pada 19 September 2020 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Arif Aiman Hanapi (18 tahun)
Seorang lagi senjata baharu JDT adalah Arif Aiman Hanapi. Bermula dengan disenaraikan dalam pemain simpanan pada 14 Mac 2020 ketika menentang Felda United di tempat sendiri. Walaupun hanya dimasukkan selama 5 minit perlawanan, namun ia sudah cukup bermakna dan pembakar semangat buat beliau.
Pertama kali disenaraikan dalam kesebelasan utama JDT pada perlawanan Piala Malaysia menentang Kuching FA di Stadium Sultan Ibrahim. Kepercayaan yang diberi oleh Benjamin Mora malam itu dibayar Arif Aiman dengan jaringan gol yang menentukan kemenangan JDT malam itu.
JDT menang dan mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia melalui jaringan Arif Aiman pada minit ke 19 perlawanan. Namun keputusan MFL menghentikan kejuaraan itu susulan arahan MKN.
Arif Aiman Hanapi turut mencatat rekod JDT sebagai penjaring termuda dalam sejarah JDT.
“Arif adalah seorang pemain yang sangat cerdas (intelligent) dan berbakat tetapi dia masih muda. Semasa pemain masih muda, mereka mungkin tidak konsisten, jadi kadang-kadang dia akan baik dan kadang-kadang tidak.” Kata Benjamin Mora.
Arif Aiman juga turut mencatat penjaring gol JDT tekini sehingga akhir musim 2020 dan juga mencatat nama ke 63 penjaring gol JDT sepanjang zaman. Terkini sebelum ini adalah Fernando Rodriguez (62) dan Ramadhan Hasbullah (61).