Portimonense FC akhirnya menamatkan badi kekalahan dalam empat perlawanan berturut-turut setelah menewaskan Nacional dengan keputusan 1-0 dalam saingan Primeira Liga Portugal lewat malam tadi.

Sebelum bertemu Nacional, Portimonense telah mengalami kekalahan dalam empat perlawanan terakhir, tiga dalam saingan Liga Primera manakala satu dalam saingan Taça de Portugal (Piala Portugal).

Penyerang utama, Fabricio menjadi wira pasukan itu apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-89 sekaligus menjadi gol tunggal perlawanan malam itu.

Nacional pula terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain setelah Júlio César dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-88.

Walaupun Portimonense meraih kemenangan, namun kelibat pemain sayap negara dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid masih tidak diberi peluang beraksi apabila pemain itu hanya memanaskan bangku simpanan dalam perlawanan yang berlangsung di Estádio Municipal de Portimão.

Walaupun beliau disenaraikan dalam skuad perlawanan, pengendali pasukan, Paulo Sergio membuat keputusan untuk tidak menurunkan Safawi dan membuatkan peminat di Malaysia terpaksa menunggu lebih lama untuk melihat pemain itu beraksi.

Pada perlawanan liga yang seterusnya, Portimonense akan turun berdepan Vitoria SC di laman lawan pada 05 Disember ini.

Portimonense ketika ini naik sedikit di tangga ke 15 daripada 18 pasukan. Kedudukan itu akan kekal sekiranya Martimo tewas di tangan Benfica.

Bilakah Safawi akan boleh beraksi ? Kemungkinan setelah kedudukan Portimonense agak kukuh sedikit atau apabila pasukannya sedang mendahului pasukan lawan.

Ini disebabkan kedudukan Portimonense agak kritikal ketika ini dan mengelakkan daripada berada dalam zon penurunan liga. Mungkin jurulatih Paulo Sergio tidak dan belum mahu mengambil risiko lagi.