Seramai 12 pemain yang lahir sebagai generasi kedua Akademi Mokhtar Dahari (AMD) telah memilih Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor sebagai destinasi seterusnya karier mereka.
Pada hujung tahun lalu, Selangor telah menandatangani hampir semua graduan AMD apabila 28 daripada 34 pemain memilih mereka. Bakinya berhijrah ke JDT. Kali ini, enam pemain telah memilih untuk ke Selangor, sementara enam pemain ke JDT.
Antara hasil terbaik AMD adalah pemain tengah mereka, Ziad El Basheer Norhisham yang memilih untuk bersama Harimau Selatan, sementara pertahanan, Muhammad Faiz Amer Runnizar pula memilih Selamgor sebagai destinasi seterusnya.
Selain itu, Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal, penyerang yang bergandingan bersama Luqman Hakim Shamsuddin di bahagian serangan skuad muda negara di kejohanan AFC B-16 2018, telah mengikut langkah Ziad El Basheer untuk ke JDT.
Menurut sumber kepada Bernama, “Ziad El Basheer dan Muhammad Faiz boleh dianggap sebagai bakat terbaik di kalangan pemain ketika ini.
Bagaimanapun, Muhammad Najmudin juga sepatutnya merupakan pemain terbaik tetapi disebabkan mengalami kecederaan lutut yang serius tahun lepas, dia terpaksa berehat panjang.”
Turut dimaklumkan, hampir kesemua 12 pelatih yang berpangkalan di Gambang, Kuantan itu adalah antara 18 pemain skuad B-17 negara yang telah beraksi pada kejohanan Piala Jenesys 2020 di Kagoshima, Jepun Mac lalu.
Begitupun, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar mengakui sebenarnya saban tahun hampir 3 ribu graduan NFDP dilahirkan dan yang berada di AMD adalah yang terbaik.
Perkembangan terbaru itu membuktikan bahawa produk AMD di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara masih memberi impak yang besar dan juga sering mendapat perhatian pasukan gergasi bola sepak negara seperti JDT dan Selangor.
Selain daripada itu, peminat bola sepak negara juga sedang menanti siapakah dalam kalangan 12 pemain generasi kedua AMD itu yang mampu mengikuti jejak langkah seperti Luqman Hakim yang berkelana ke Eropah selepas menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab profesional Belgium, KV Kortrijk.
Sumber : BERNAMA