Sekali lagi nama Safawi Rasid tersenarai bersama dalam skuad utama Portimonense SC yang dijadualkan menentang Desportivo Nacional dalam Liga Primeira Portugal pukul 11 malam ini.

Apakah bintang sayap Harimau Malaya itu akhirnya akan mendapat kepercayaan jurulatih, Paulo Sergio untuk diturunkan buat pertama kali sebentar lagi ?

Sebelum ini gambar Safawi menjalani latihan sering dimuatnaik Portimonense SC setiap kali kelab bakal menghadapi sesuatu perlawanan, namun sejak beberapa hari kebelakangan ini aksi latihan beliau tidak lagi mengisi media sosial mereka.

Peminat di Malaysia tanpa berfikir banyak ‘menyerang’ kelab tersebut Safawi tidak diturunkan dalam perlawanan menentang kelab divisyen tiga, UD Leiria pada saingan Piala Portugal, 21 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Robsen Pontes tampil menenangkan keadaan dengan menyebelah kepada Safawi.

“Safawi adalah pemain yang berkualiti dan jurulatih kami sedang membantunya untuk tampil dalam pasukan, sekali gus meraih penampilan pertama dengan kelab.

“Semua pihak di kelab begitu gembira dengan kemajuan Safawi dan kami hanya menunggu masa yang sesuai untuk menurunkan Safawi,” kata CEO kelab Portimonense.

Selepas dua kali membawa perlawanan Portimonense secara langsung, Astro Arena tidak akan menyiarkan pertemuan menentang Nacional malam ini.

Sepanjang lebih sebulan tiba di Portugal selepas dipinjamkan semusim oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi hanya beraksi selama 56 minit bersama skuad bawah 23 tahun Portimonense menentang pasukan Sporting Lisbon.

29/11/2020 | AHAD | 11.00 MALAM
MD8 : PORTIMONENSE SC VS NACIONAL