Peninat Malaysia  diharapkan dapat bersabar dan memberi sedikit masa kepada bintang bola sepak negara, Safawi Rasid untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan tempo permainan di Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif Portimonse SC, Robsen Pontes, menjelaskan bahawa jurulatih pasukan iaitu Paulo Sergio sedang berusaha menyiapkan Safawi Rasid untuk dipertaruhkan dalam setiap aksi kelab terbabit selepas ini.

Menurutnya lagi, pemain sayap berkaki kiri itu sememangnya berpotensi menyerlah terutama di Liga Premeira yang juga saingan utama di Portugal.

“Safawi adalah pemain berkialiti. Jurulatih sedang membantunya untuk tampil dalam pasukan sekali gus meraih penampilan pertama dengan kelab. 

“Semua pihak di kelab gembira dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh Safawi. Kami hanya menunggu masa yang sesuai untuk menurunkannya.” kata Robsen Pontes kepada media Portugal.

“Secara teknikal, Safawi seorang pemain yang bagus dan pintar di atas padang,” kata Pontes.

“Dia juga mempunyai penyudah yang baik, saya rasa hanya tunggu masa sahaja untuk dia sesuaikan diri dengan bola sepak Eropah.”

Pontes juga membayangkan bahawa Safawi akan menjadi seperti bekas pemain Portimonense, Shoya Nakajima yang kini beraksi dengan FC Porto.

Sebelum ini Safawi telah tersenarai dalam dua aksi terakhir bersama pasukan, namun hasrat untuk melihat pemain Harimau Malaya itu bermain tidak kesampaian setelah beliau hanya memanaskan bangku simpanan.

Berdasarkan perkembangan terkini, persiapan Portimonense SC menjelang aksi liga pertemuan dengan Desportivo Nacional esok pukul 11.00 malam waktu Malaysia, Safawi dilihat bersemangat menjalani latihan bersama pasukan utama. 

Safawi telah dipinjamkan selama semusim oleh Johor Darul Ta’zim (JDT). Dia dijangka akan terus berada dalam senarai 18 pemain untuk perlawanan wajib menang itu nanti.

Ketika ini Portimonense SC terperosok di tangga terbawah liga dengan hanya mengumpul 4 mata daripada 7 aksi liga setakat ini.

Minggu lalu, kelab Safawi itu ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan ketiga Piala Portugal setelah tewas mengejut di tangan kelab divisyen tiga, UD Leiria 0-1 di tempat lawan. 

Sumber : Harian Metro, 29/11/2020