Penyokong kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dijangka akan mula dibenarkan menonton perlawanan di stadium mereka dengan jumlah kehadiran maksimum tidak melebihi 4,000 penonton, di kawasan berisiko rendah bermula bulan hadapan.

Berita itu disambut baik oleh beberapa kelab gergasi EPL. Juara musim 2019-2020 Liverpool, bersedia bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan. Manchester United pula tampil dengan garis panduan ketat untuk memastikan keselamatan penonton berada di tahap yang maksimum.

Pengumuman yang dibuat oleh Boris Johnson, Perdana Menteri United Kingdom (UK) itu, akan memberi impak positif kepada kewangan pasukan, menurut Rick Parry, Pengerusi English Football League selepas kesemua kelab dilaporkan bakal menanggung kerugian kolektif 500 juta pound (RM2.7 billion), kesan daripada pandemik COVID-19.

United Kingdom telah mencatat 11,299 kes baharu COVID-19 pada semalam, 26 Nov.

Beberapa Negara Yang Sudah Memberi Kelonggaran

Walau bagaimanapun, UK bukan negara pertama yang bakal membenarkan kehadiran penonton ke stadium. Negara seperti Perancis, Belanda, Itali, Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, China serta Vietnam, telah melaksanakan kelonggaran itu di negara masing-masing.

Berdasarkan perkembangan terkini global, kerajaan diharap dapat mempertimbangkan kebenaran kehadiran penonton ke stadium dalam skala kecil, jika penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang dijadual bermula Februari tahun hadapan, mendapat ‘lampu hijau’.

Difahamkan melalui BERNAMA, keuntungan keseluruhan yang melebihi RM7 juta hasil jualan tiket perlawanan (termasuk pas bermusim) selain barangan cenderamata di venue pertandingan, gagal dikutip oleh kesemua 24 pasukan yang bersaing dalam Liga Super dan Liga Premier musim inii akibat larangan kehadiran penonton di stadium.

Walaupun keselamatan dan kesihatan menjadi isu utama, Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara Liga Super telah membuktikan penularan COVID-19 di kalangan penonton di stadium mampu diatasi, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Ia berikutan tiada kes positif COVID-19 dilaporkan daripada seramai 100 individu yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, bagi menyaksikan perlawanan Liga Super antara JDT dan Sabah pada 2 Okt yang lepas.

Bernama difahamkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telahpun berusaha awal mengorak langkah dalam mendapatkan kebenaran penonton ke stadium seawal aksi Piala Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, yang menjadi perlawanan pembuka tirai kempen Liga-M 2021.

Kebenaran 300 Penonton

Perancangannya adalah untuk memohon sehingga 300 penonton dengan pelaksanaan SOP yang ketat, namun seperti yang kita sedia maklum keputusan muktamad hanya terletak di tangan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kehadiran penyokong ke stadium juga akan merancakkan kembali saingan Liga-M, sekali gus dapat menaikkan nilainya yang akhirnya mencapai pulangan atas pelaburan (ROI) lumayan.

Dilaporkan penaja utama Liga-M, Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi anak syarikatnya TM Multimedia akann mengurangkan kira-kira RM10 juta daripada jumlah tajaan sebelum ini, sementara CIMB Group Holdings Berhad akan menarik tajaan sejumlah RM2 juta sebagai penaja utama, saingan Liga Super 2021.

Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, AirAsia yang menjadi syarikat penerbangan rasmi eksklusif Liga-M dari 2019 hingga 2020, turut juga dilaporkan tidak akan melanjutkan kerjasama itu untuk musim berikutnya.

Bagaimanapun, telah difahamkan masih tiada bukti hitam putih mengenai dakwaan pengurangan jumlah tajaan dan penarikan diri penaja, malah berdasarkan semakan dibuat mendapati badan pengelola Liga-M itu masih menampilkan logo syarikat tersebut, dalam hantaran terbaharu di laman rasmi MFL.

Sumber : BERNAMA / Foto : The Photoshooterz

Update terkini dari MFL – AirAsia, CIMB Tarik Diri :

“AirAsia telah menyatakan hasrat mereka untuk tidak melanjutkan penajaan bersama MFL bagi saingan Liga Malaysia musim 2021.

“Sementara CIMB, MFL telah mengadakan pertemuan dengan mereka tiga hari yang lalu dan menyatakan hajat yang sama di mana pihak kami kini menunggu surat secara rasmi daripada CIMB yang tidak mahu melanjutkan penajaan bagi musim depan.

“Saya mewakili pihak MFL mahu mengambil kesempatan ini untuk melahirkan penghargaan kepada setiap penaja ini di atas sumbangan mereka kepada bola sepak negara ketika kita semua berdepan detik sukar dalam pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.