Tan Cheng Hoe, pengendali skuad Harimau Malaya, tidak risau walaupun penyerang sensasi negara, Safawi Rasid masih belum mendapat peluang beraksi bersama kelab Portugal, Portimonense SC.
Cheng Hoe percaya Safawi tahu apa yang perlu dilakukan untuk terus berada pada tahap terbaik apabila dipanggil mewakili skuad kebangsaan nanti bagi mengharungi Kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Mac tahun depan. Berada di bangku simpan dan belum dapat beraksi bukan bermakna prestasi beliau menurun.
“Saya tak rasa skil dia akan ‘berkarat’ sebab tidak dapat minit bermain. Saya kenal Safawi dan dia mempunyai disiplin yang sangat tinggi dalam sesi latihan mahupun pada perlawanan sebenar.
Lagi pun, Safawi Rasid masih awal berada bersama kelab baharu beliau. Beliau memerlukan masa menyesuaikan berbagai situasi di sana.
“Sejak bermain bersama skuad kebangsaan pada 2017, saya nampak perkembangan dia sangat banyak. Jadi saya mengharapkan dia akan meneruskan usaha dan kerja keras memastikan dia berada pada tahap yang terbaik untuk skuad kebangsaan nanti.
“Lagipun, latihan dan saingan di kelab tersebut sangat hebat, saya yakin dia akan menggunakan faktor itu untuk meningkatkan tahap permainan dan bersedia untuk pasukan Harimau Malaya apabila dipanggil nanti,” kata Safawi kepada wartawan Sinar Harian semalam.
Sejak ke Portugal hampir dua bulan, Safawi masih belum diberikan peluang beraksi bersama skuad utama Portimonense walaupun sebagai pemain gantian.
Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan ramai pihak jika Safawi tidak akan berada pada tahap terbaik untuk mewakili Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
Cheng Hoe mahu penyokong tidak memberikan tekanan kepada Safawi dan membiarkan pemain itu serasi bersama kelab baharunya.
“Memang Safawi tidak mendapat minit permainan dengan kelabnya, tetapi kita kena fikir positif kerana Safawi bermain dalam Liga Portugal yang sememangnya saingan di sana sangat sukar.
“Baru-baru ini pun dia pun sudah bermain dengan skuad Bawah 23 tahun (Portimonense) dan itu sudah satu perkembangan yang baik. Saya rasa untuk masa depan nanti jika diberikan peluang bermain, dia akan beri yang terbaik dan mampu membuka mata ramai orang,” kata Cheng Hoe.
Sumber : Sinar Harian