Rozaimi Bangga Bersama JDT

Rozaimi Abdul Rahman, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) diberitakan akan meninggalkan pasukan JDT selepas lima musim bersama pasukan itu..

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Rozaimi yang mengumumkan perkara tersebut melalui laman media social beliau beberapa hari yang lepas.

“Adalah satu kebanggaan dalam karier bolasepak saya apabila dapat bersama dengan kelab terbaik negara iaitu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim sepanjang 5 tahun ini. Ia bukan setakat hanya sebuah kelab tetapi ia adalah satu keluarga besar iaitu keluarga JDT.” Kata Rozaimi dalam akaun Instagram beliau.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ‘Boss’ saya, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang meletakkan kepercayaan kepada saya dari dulu lagi. Alhamdulillah dengan fasiliti terbaik yang TMJ sediakan di JDT, saya mampu untuk meneruskan karier saya semula. Terima kasih sekali lagi Boss atas peluang dan kepercayaan yang telah diberikan.” tambah Rozaimi.

Rozaimi menyertai JDT pada 2016 dan menandatangani kontrak selama tiga tahun setelah beliau pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami ketika terlibat dalam satu kemalangan yang turut mengorbankan sepupu beliau pada Julai 2015.

Sebelum beraksi bersama JDT, Rozaimi pernah beraksi bersama pasukan negeri kelahiran beliau iaitu Sabah, Sarawak, Harimau Muda A dan juga pasukan Selangor secara pinjaman.

JDT banyak membantu Rozaimi Abdul Rahman ketika beliau masih bergelut pulih dari kecederaan. Beliau banyak menerima rawatan pemulihan semasa di JDT.

TMJ Beri Rawatan Kepada Rozaimi

Beliau seakan-akan terpaksa menamatkan karier bola sepak lebih awal sehinggakan JDT, khususnya TMJ mengambil beliau untuk menyediakan rawatan pemulihan dan seterusnya dapat beraksi.

“Lima tahun perjalanan karier saya telah dijaga dengan baik oleh JDT umumnya dan TMJ khususnya. Kini tiba masanya untuk saya mengorak langkah ke satu lagi tahap untuk meneruskan karier bola sepak saya. Terima kasih kepada semua penyokong. Tanpa anda semua, saya tidak mampu berdiri seperti ini. Jumpa lagi di masa akan datang.” Kata Rozaimi.

Rozaimi, yang satu ketika dahulu pemain yang pernah digelar “Neymar Malaysia” sehingga ke hari ini masih belum mengumumkan pasukan mana yang akan diwakilinya. Namun khabar angina menyatakan bahawa beliau kini giat dipancing satu pasukan dari Borneo Malaysia.

Sumber : Instagram Rozaimi Abdul Rahman