Cheng Hoe Pentingkan Prestasi
Faktor usia tidak dianggap menjadi halangan terbesar kepada Gonzalo Cabrera dan Lee Tuck untuk diserap sebagai pemain naturalisasi Harimau Malaya.
Tan Cheng Hoe, ketua jurulatih Harimau Malaya, dilihat lebih mementingkan prestasi pemain tersebut dalam menyumbang sesuatu yang positif kepada skuad kebangsaan.
Cheng Hoe juga tidak menafikan dua pemain itu antara yang boleh diberi peluang untuk bersama skuad kebangsaan berdasarkan kepada prestasi cemerlang sepanjang beraksi di Liga Malaysia (Liga M) bersama pasukan masing-masing.
“Kalau kita melihat pemain naturalisasi di mana-mana negara pun, mereka adalah sementara sahaja dengan matlamat untuk menguatkan pasukan. Tapi untuk jangka masa panjang, kita masih memerlukan bakat anak tempatan yang ada juga.
“Jika pemain itu nampak lebih baik daripada pemain tempatan kita akan beri mereka peluang. Sudah tentu usia satu faktor besar juga, tapi kadang-kadang terpulang kepada individu itu sendiri.
Ibrahimovic Dan Ronaldo Dijadikan Contoh
“Kita ambil contoh Zlatan Ibrahimovic (39 tahun) masih berbisa bersama AC Milan, dan Cristiano Ronaldo, walaupun telah berusia 35 tahun tapi masih lagi menjadi penyerang yang berbahaya.

“Namun kita perlu lihat juga sama ada mereka (Cabrera dan Tuck) mahu mewakili pasukan kebangsaan atau tidak. Tidak dinafikan Cabrera telah beraksi dengan baik bersama JDT dan Lee Tuck bersama TFC,” katan Cheng Hoe.
Sebelum ini dilaporkan, Cabrera, 31, dan Tuck, 32, berada dalam pemantauan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai calon pemain naturalisasi selepas mereka bakal memenuhi syarat lima tahun beraksi di Liga M musim hadapan.
Cheng Hoe tetap masih mengharapkan akan muncul pemain tempatan yang akan menyinar dalam masa yang terdekat, terutama bagi posisi pertahanan tengah.
“Bahagian serangan memang kita masih mengharapkan penyerang tempatan seperti Shahrel Fikri , Syafiq Ahmad dan selepas ini ada Luqman Hakim Shamsudin.
“Kalau kita lihat di bahagian tengah atau sayap kita ada pemain yang menyinar macam Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh dan beberapa pemain lain,” ujar Cheng Hoe.
Sumber : Berita Harian