Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, pertahanan kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), berazam ingin kembali merebut tempat dalam senarai utama Benjamin Mora selepas 70 peratus pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen lutut.
Sebelum ini, Mora terpaksa mengetepikan Azrif disebabkan oleh kecederaan ligamen lutut yang dialami ketika menjalani siri jelajah pra musim di Emeriah Arab Bersatu (UAE) bersama JDT awal musim ini.
Bagaimanapun, persaingan sengit dengan kehadiran Matthew Davies serta S. Kunanlan di posisi yang sama tidak menghalang pemain berusia 29 tahun itu untuk terus berusaha merebut tempat.
“Perkara paling saya rindui adalah kembali berlatih bersama pasukan dan kembali menyarung jersi JDT. Saya berharap untuk terus bersaing mendapatkan tempat dalam pasukan utama. Pada pendapat saya, barisan pemain yang terpilih adalah yang terbaik untuk menghadapi satu-satu perlawanan,” kata Azrif.
Disebabkan kecederaan itu juga, Azrif tidak dapat diturunkan walaupun dalam senarai pemain simpanan langsung. Berbeza dengan musim lepas, 2019, Azrif telah mencatat 11 kali berada dalam senarai kesebelasan utama dan beraksi sepenuh masa. Keseluruhannya mencatat rekod beraksi selama 1,491 minit (tidak rasmi).
Selain itu, Azrif turut menyumbang 1 gol sepanjang musim lepas dalam saingan Liga Super ketika menentang Kuala Lumpur pada 08 Februari 2019 di Stadium Larkin, Johor Bahru. Itulah satu-satunya jaringan tunggal Azrif sejak bersama JDT.
Sumber : Stadium Astro