Melalui satu kenyataan daripada laman facebook rasmi ‘Sultan Ibrahim Sultan Iskandar’, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebagai Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), mulai hari ini, Ahad, 22 November 2020.
Watikah pemasyhuran pengisytiharan MBPG telah diserahkan oleh Baginda Tuanku Sultan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada hari ini sebentar tadi.
Berangkat sama adalah DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Pasir Gudang yang telah diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) pada 1 Julai 2008 kini dibawah petadbiran Yang Dipertua (YDP), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Zainor Adani.
Pasir Gudang satu ketika dahulunya dikenali sebagai sebuah perkampungan nelayan dan kini mempunyai kepadatan penduduk lebih 500,000 orang dan menjadi antara kawasan perindustrian terbesar di Malaysia serta penyumbang utama kepesatan pembangunan di Johor.
Selaras dengan pengisytiharan MBPG itu jawatan YDP MPPG akan bertukar kepada gelaran Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
Sumber dan Foto : FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar