Apakah faktor usia bakal menjadi penghalang buat beberapa pemain import seperti Gonzalo Cabrera dan Lee Tuck untuk diberikan status pemain naturalisasi buat Harimau Malaya ?

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menggariskan faktor usia menjadi antara kriteria yang diambil kira dalam pengambilan pemain naturalisasi.

Bagaimanapun, Cabrera, 31, dan Tuck, 32, sekarang ini berada dalam pemantauan FAM sebagai calon pemain naturalisasi selepas mereka bakal memenuhi syarat lima tahun beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

Adakah berbaloi FAM mengambil pemain import yang berusia lebih 30 tahun yang mana khidmat mereka mungkin khidmat mereka hanya boleh digunakan dalam tempoh yang pendek ?

Usia pemain adalah antara perkara yang menjadi perdebatan hangat ketika FAM sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan kerana majoriti pemain import yang beraksi di Liga-M sudah berusia 30-an.

Wartawan BH Sukan telah mendapatkan ulasan lanjut daripada jurulatih dan bekas pemain kebangsaan, adakah masih relevan pemain berusia seperti Cabrera dan Tuck diberikan status naturalisasi.

Wan Jamak Wan Hassan :

“Untuk jangka pendek memang itu menguntungkan kita. Kita pun sekarang bergelut untuk mendapatkan tempat di Piala Dunia, Piala Asia, Piala AFF dan banyak lagi kejohanan yang akan datang.

“Jika di Eropah, umur 31 atau 32 tahun itu tengah bagus untuk beraksi.

“Jadi, kalau untuk jangka pendek, kita lihat skuad kebangsaan akan jadi kuat jika ada pemain naturalisasi yang berpengalaman dan mempunyai kemahiran tinggi.

“Tapi untuk jangka masa panjang juga kita perlu fikirkan manakah pemain muda yang kita hebohkan sebelum ini dengan Johor ada akademi, Selangor ada akademi, kita juga ada Akademi Mokhtar Dahari (AMD). Selain itu beberapa pemain kita sudah dihantar ke luar negara seperti Luqman Hakim Shamsuddin dan Safawi Rasid.”

B. Sathianathan :

“Sememangnya Cabrera dan Tuck masih relevan kerana kalau kita tengok prestasi mereka sentiasa baik walaupun nampak berusia.

“Untuk jangka pendek bagi melayakkan kita ke kejohanan tertinggi seperti Piala Asia, kita kena gunakan pemain berkaliber. Kalau kita bandingkan dengan pemain tempatan ketika ini, mereka adalah lebih baik.

“Terpulang kepada jurulatih, kalau Tan Cheng Hoe rasakan Cabrera dan Tuck layak untuk bermain dengan Harimau Malaya, dia berhak untuk mendapatkannya. Ini perancangan jangka pendek sementara menunggu pemain muda tempatan layak menyarung jersi kebangsaan.

“Kadang-kadang pemain muda kita berbakat, tapi mereka tak cukup aksi kompetitif.

“Sama seperti Jepun, mereka nak masuk Piala Dunia buat kali pertama berapa ramai pemain Brazil yang mereka ada.”

Datuk Jamal Nasir Ismail :

“Bagi pasukan kebangsaan kalau umur 32 atau 33 tahun boleh main lagi, kecuali kalau sudah 36 atau 37 tahun.

“Tapi kena tengok juga dari segi kekuatan fizikal dan sebagainya. Untuk jangka pendek boleh, tapi bagi jangka masa panjang mungkin tak berbaloi sangat.

“Kita nak main di peringkat antarabangsa, kalau beraksi 40 minit sudah penat, bagaimana nak main sepenuh masa. Bila badan kita penat atas sebab sudah tua, dengan sendiri otak otak kita akan ikut badan dan tidak boleh dikawal dengan baik.

“Kita perlu membuat perbandingan dengan pemain tempatan, jangan kata kerana dia ‘mat salleh’ atau berdarah campuran kita terus ambil.

“Jadi jurulatih perlu buat penilaian secara mendalam supaya pemain naturalisasi ini memiliki kemampuan yang jauh lebih baik dari pemain tempatan.”

Melalui ulasan-ulasan tiga bekas pemain kebangsaan dan jurulatih tersebut, kita boleh rumuskan bahawa pada usia 32 dan 34 masih relevan lagi untuk jangka masa pendek, namun bergantung kepada kemampuan dan kemahiran pemain naturalisasi tersebut juga.

Mereka bukan hanya sekadar mempunyai kemampuan yang sama dengan pemain tempatan, malah jauh lebih baik. Jika baik sedikit pun tidak memadai kerana pemain tempatan yang kurang baik sedikit pun apabila diberi sedikit pendedahan di peringkat antarabangsa, mereka akan bertambah baik.

Baca juga : FAM Pantau Gonzalo Cabrera

Kelebihan jika ada pemain naturalisasi juga turut menyumbang kepada persaingan yang sihat dan lebih hebat lagi. Pemain tempatan akan sedaya upaya membuktikan mereka juga mempunyai kemampuan yang sama atau lebih dari pemain naturalisasi itu.

Seperkara lagi, selepas mereka diberi status naturalisasi selepas lima tahun beraksi dalam Liga-M, adakah mereka masih beraksi bersama pasukan dalam Liga-M ? Ada kemungkinan juga mereka akan pulang atau menamatkan karier bolasepak mereka di Malaysia. Adakah mereka masih berkemampuan pada tahun keenam mereka itu ?

Artikel Penuh : Berita Harian, 23 November 2020

Foto : The Photoshooterz