Mungkinkah saingan Piala FA Portugal (Taca de Portuga) bakal mencatat satu sejarah buat penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kebangsaan, Safawi Rasid untuk meraih penampilan pertamanya bersama skuad utama Portimonense SC ?
Ia kerana skuad yang berpengkalan di Algarve, Portugal itu dijadual akan bertemu pasukan divisyen tiga, UD Leiria bagi aksi pusingan ketiga Taca de Portugal yang akan berlangsung pada jam 5 pagi esok, 21 November 2020.
Melihat kepada jurang kekuatan antara Portimonense SC yang beraksi di divisyen utama dan UD Leiria di divisyen ketiga, Safawi mungkin berpeluang untuk diturunkan sekurang kurangnya sebagai pemain simpanan.
Inilah masa yang paling sesuai buat Portimonense SC menguji kemampuan Safawi yang masih belum pernah diturunkan lagi sejak bersama kelab tersebut.
Menentang pasukan dari liga bawahan seperti ini juga boleh dianggap sebagai peluang keemasan oleh jurulatih, Paulo Sergio untuk menguji Safawi sekali gus mampu menjadi langkah pertama yang begitu besar kepada karier pemain kebangsaan itu di benua Eropah.
Apabila ditanya mengenai peluang beraksi pada perlawanan ini, berita gembira dikongsi pemain itu selepas dia berkemungkinan akan disenaraikan buat kali kedua sekali gus mencerahkan peluang yang sudah lama dinantikannya selama ini.
“Jika tiada halangan kemungkinan perlawanan pada hujung minggu ini, saya berpeluang untuk bermain sebagai pemain gantian. Namun, perkara itu terserah kepada barisan jurulatih. Pada ketika ini saya giat menjalani latihan untuk perlawanan berkenaan,” katanya.
Terdahulu, penantian penyokong Malaysia yang sanggup bersengkang mata berakhir dengan kekecewaan selepas penyerang JDT itu sekali lagi tidak diturunkan ketika bertemu Porto sebelum ini.
Meskipun disenaraikan buat kali pertama di bangku simpanan Portimonense SC, rezeki jelas masih lagi belum berpihak kepada pemain itu untuk mencatat penampilan sulung bersama skuad utama di bumi Eropah.
Matchday :
UD Leiria vs Portimonense SC (pusingan ke-3)
21.11.2020 (5.00 pagi)