Aidil Sharin Sahak, Ketua jurulatih Kedah, ingin mulakan langkah kanan dalam saingan Liga Super musim depan dengan memasang impian menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Piala Sultan Ahmad Shah atau Sumbangsih nanti yang dijangkakan pada bulan Februari.

Walaupun dilihat agak sukar untuk berbuat demikian namun Aidil berkata perkara terbabit tidak mustahil jika sudah bersedia dengan barisan pemain mantap nanti.

[Jika sudah bersedia, JDT lagi sudah lama bersedia]

Beliau berkata, pertembungan buat kali keempat antara dua gergasi bola sepak tempatan itu diharap mampu memihak kepada pasukannya. Kali terakhir mereka menjuarai saingan itu adalah pada 2017 selepas menewaskan lawan sama menerusi penentuan penalti di Stadium Larkin.

Walaupun masih terlalu awal meletakkan harapan yang tinggi kepada perlawanan itu, beliau tidak menafikan sudah menjadi impian setiap pasukan untuk cuba menewaskan pasukan yang hebat seperti JDT dan bakal bertembung sekali lagi pada tahun hadapan dalam saingan itu. Ia memberi seribu satu harapan buat Aidil dan pasukan untuk bersedia dengan lebih baik.

“Melihat kepada kalendar yang dikeluarkan oleh MFL, saya tengok kita ada banyak masa untuk mempersiapkan pasukan dengan lebih baik dan tempoh masa lebih 2 bulan itu cukup untuk kita buat persiapan pra musim.

“Seperti yang kita tahu, musim ini memang agak lewat sedikit untuk kita habiskan Liga Malaysia, tetapi dengan kalendar yang sudah keluar awal ketika ini, kita sudah boleh membayangkan sasaran awal khususnya dalam Piala Sumbangsih.

“Saya rasa memang impian semua pasukan untuk tundukkan JDT, mereka pun sudah tiga kali memenangi trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah. Apabila sekali lagi Kedah akan menentang mereka, saya rasa sudah tiba masa untuk kita cuba menyaingi JDT.

“Tetapi bagaimana pun, kita bukan hanya ingin fokus satu perlawanan itu sahaja, kerana apa yang penting adalah aksi konsisten selepas perlawanan berkenaan untuk Kedah cuba bertahan di kedudukan terbaik dalam aksi Liga Super 2021”, katanya.

Kedah mengisi slot Piala Sultan Haji Ahmad Shah apabila menjadi naib juara Liga Super 2020 selepas tiada pemenang Piala FA dan Piala Malaysia di mana kedua-dua kejohanan itu terpaksa dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Buat ketika ini, Aidil mahu barisan pemain mengambil peluang merehatkan fizikal dan minda secukupnya sebelum diberikan tugas untuk mempersiapkan diri daripada aspek kecergasan terlebih dahulu.

Sumber : Harian Metro / Foto : The Photoshooterz