Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengumumkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) tahun 2021 akan bermula pada bulan Februari.

Datuk Ab Ghani Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, berkata, kalendar Liga-M akan bermula dengan perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) di mana juara CIMB Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertemu naib juara liga, Kedah pada 26 Februari 2021.

Perlawanan domestik (CIMB Liga Super dan Liga Premier) akan bermula pada 27 dan 28 Februari dan akan berakhir pada 20 dan 21 Ogos.

“Kejohanan Piala FA akan berlangsung pada 2 dan 3 Mac sehingga aksi final pada 11 September manakala TM Piala Malaysia bermula 17 dan 18 September sehingga 27 November.

“Kejohanan Piala Cabaran pula akan berlangsung pada 3 dan 4 September sehingga final pertama pada 6 atau 7 November diikuti dengan final kedua pada 13 atau 14 November,” kata Ab Ghani.

Menurutnya lagi, bagi persiapan pasukan untuk musim 2021, pihak MFL telah pun menetapkan tempoh pendaftaran pertama bermula Sabtu ini hingga 14 Februari tahun depan.

“Bagi tempoh pendaftaran kedua, pasukan boleh berbuat perkara sama bermula 12 Julai 2021 sehingga 8 Ogos 2021 di mana tempoh satu bulan masa telah diperuntukkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Ghani memberitahu semua perancangan kalendar Liga Malaysia bagi musim depan telah mengambil kira pelbagai aspek.

“Sepanjang bulan Januari 2021 beberapa siri taklimat oleh semua unit MFL kepada Pengurusan FC yang baharu untuk menyelaras pentadbiran pertandingan MFL dengan lebih teliti. Ia melibatkan Unit Pertandingan, Unit Komersil, Unit Media, Unit Penyiar Rasmi, Unit Strategi (ECP) dan lain–lain yang berkaitan bagi memastikan FC bersedia menghadapi Liga-M.

“MFL juga mengambil kira Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 (FIFA dan AFC) Pasukan Kebangsaan, tarikh Asian Champions League 2021 dan AFC Cup dan ACL 2021 yang melibatkan tiga pasukan dari Liga Malaysia (JDT, Kedah dan TFC).

“Selain daripada itu, kejohanan Piala AFF Suzuki 2021 (AFF) berlangsung pada 11 April hingga 8 Mei disusuli dengan kejohanan AFC bawah 19 tahun (B-19) akan bermula 3 sehingga 20 Mac,” katanya.

Datuk Ab Ghani juga turut mengesahkan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah itu juga telah meluluskan prosedur Pengambilan dan Pendaftaran Pemain dan Pegawai Asing Musim di mana prosedur ini juga telah dibentangkan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Saya berharap, agar segala perancangan MFL bagi musim 2021 ini akan berjalan dengan lancar dan bersama-sama berdoa supaya situasi COVID-19 di negara ini akan bertambah baik,” katanya.

Foto : The Photoshooterz