Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), terasa begitu berat untuk ditelan apabila keputusan tidak membenarkan pasukan itu menyertai saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Doha, Qatar bermula 18 November hingga 13 Disember.
Tunku Ismail dalam kenyataan rasmi di laman rasmi Johor Southern Tigers juga menegaskan tindakan membatalkan saingan suku akhir Piala Malaysia dianggap keputusan yang berat untuk diterima.
Walau bagaimanapun Tunku Ismail memilih untuk tidak mahu mengambil risiko ketika Malaysia dan negara di seluruh dunia masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19 yang masih menular.
“Saya yakin kerajaan melakukan yang terbaik demi kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia termasuk keluarga-keluarga semua pihak terbabit.
“Ia kerana kes-kes Covid-19 semakin meningkat dan situasi ini akan menjejaskan kelangsungan hidup jika berterusan.
“Sesiapa sahaja tidak terlepas dari ancaman Covid-19. Sebagai contoh, pemain bintang Mesir, Mohamed Salah juga telah disahkan positif apabila tiba untuk perlawanan antarabangsa walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.” kata Tunku Ismail.
Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, mengumumkan JDT tidak dibenarkan menyertai saingan ACL 2020, malah beliau juga memaklumkan kepada kelab berkenaan larang itu.
Situasi berkenaan mengundang pertanyaan apabila juara Liga Super tujuh musim berturut-turut sejak 2014 mungkin berhadapan tindakan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Berdasarkan perkara 6.2 peraturan kejohanan AFC, mana-mana pasukan yang menarik diri selepas peringkat kumpulan kejohanan itu bermula boleh didenda dan dihukum sehingga AS$50,000 (RM206,400) dan penggantungan sebanyak dua edisi.
Namun difahamkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Stuart Ramalingam akan mengadakan perbincangan dwngan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul berkaitan denda yang bakal dikenakan terhadap JDT.
Tunku Ismail juga bersetuju dengan pandangan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berhubung larangan yang dikenakan itu.
“Alistair sudahpun menyatakan kekecewaan kelab kerana musim 2020 berakhir begitu sahaja. Tetapi kami akur dengan keputusan kerajaan dan memahami bahawa kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia adalah penting demi masa depan negara,” kata Tunku Ismail.