Walaupun industri bola sepak Malaysia boleh dianggap agak suram pada musim ini terutama selepas pembatalan Piala Malaysia namun sebenarnya sukan terbabit tetap ada aura tersendiri setelah merekodkan 29 juta penonton menerusi saluran YouTube.
Jumlah itu boleh dikatakan agak tinggi, tidak termasuk perlawanan membabitkan pusingan pertama Piala Malaysia. Dalam tujuh perlawanan awal Piala Malaysia berjaya mencatatkan rekod penonton sebanyak 6.6 juta.
Rekod paling tinggi membabitkan perlawanan Liga Super adalah ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim iaitu seramai 1.38 juta penonton manakala saingan Liga Perdana pula menyaksikan perlawanan UKM FC menentang Kelantan berjaya mencatatkan sejumlah 35,000 penonton.
Pusingan pertama Piala Malaysia pula menyaksikan perlawanan Kedah menentang Pahang yang berkesudahan skuad Helang Merah berjaya menundukkan Tok Gajah 3-2 berjaya meraih tontonan paling tinggi iaitu 2.2 juta penonton.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Ab Ghani Hassan berkata, jumlah tontonan luar biasa banyak disumbangkan dan disebabkan oleh penyokong-penyokong yang tidak boleh hadir ke stadium.
Ab Ghani berkata, situasi terbabit membuktikan industri bola sepak negara tidaklah sendu malah semakin rancak dengan orang ramai tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pasukan masing-masing beraksi.
“Sudah tentu perlawanan Liga Malaysia terutama membabitkan pasukan tertentu mendapat sambutan hangat daripada penonton dan ia sekali gus membantu meningkatkan jumlah tontonan menerusi platform atas talian (Youtube).
“Walaupun, penyokong bola sepak tanah air tidak boleh ke stadium, namun masih masih mencari platform yang sedia ada untuk menyaksikan perlawanan bola sepak tempatan.
“Selain itu, jumlah penonton yang ramai ini juga memberi kesan positif kepada penaja MFL yang mana jenama mereka dapat dipertontonkan kepada umum begitu ramai walaupun hanya melalui platform digital, dan sudah tentu dari segi pulangan mereka bertambah walaupun penonton tidak dapat ke stadium disebabkan Covid-19.
Beliau turut berkata, perlawanan membabitkan pasukan Liga Perdana turut mendapat sambutan menggalakkan terutama membabitkan lima pasukan teratas.
“Jika ada pihak mengatakan industri bola sepak kita kurang mendapat sambutan adalah salah dan tidak benar kerana pasukan yang tidak popular pun turut mencatatkan jumlah tontonan mencecah ratusan ribu,” katanya.
Namun sekiranya ditambah pula jika penonton dibenarkan ke stadium, industri bola swpak negara akan bertambah meriah. Gabungan kedua-dua kaedah iaitu hasir ke stadium dan langsung dalam talian, sudah tentu pulangan penaja akan bertambah lumayan.
Ia bukan sahaja tertumpu pda pihak penaja MFL, malahan penaja setiap pasukan juga akan mendapat kesan yang positif.
Seharusnya geran untuk setiap pasukan ditambah pada musim ini kerana terpaksa menanggung tiada hasil yang diperoleh melalui kutipan tiket.
Sumber : Harian Metro // Foto The Photoshooterz