‘Penarikan diri’ pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berikutan larangan kerajaan yang tidak membenarkan JDT ke Doha, Qatar bagi meneruskan baki kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL), sememangnya satu kerugian besar buat skuad Harimau Selatan.

Di kala saingan kompetitif tempatan sudah berakhir, aksi peringkat tertinggi Asia itu sepatutnya menjadi medan pendedahan terbaik buat pemain mereka, apatah lagi mereka masih memiliki empat perlawanan peringkat kumpulan ACL.

JDT bukan setakat kehilangan medan menguji pasukan terbaik Asia, namun penarikan diri itu turut memberi impak kewangan kepada pasukan itu. Mereka terlepas peluang mengaut keuntungan daripada perlawanan ACL itu.

JDT terlepas peluang merebut sekurang-sekurangnya AS200,000 (RM842,000) daripada hadiah kemenangan yang ditawarkan menerusi baki empat perlawanan terbabit.

Bagaimanapun, mereka setidak-tidaknya boleh tersenyum sedikit kerana sudah membawa pulng AS50,000 (RM206,000) daripada saingan itu musim ini selepas kejayaan mereka menundukkan Suwon Bluewings 2-1 di laman sendiri pada Mac lalu.

“JDT terlepas peluang menerima hadiah kemenangan seterusnya kerana sudah menarik diri namun hadiah kemenangan sebelum ini sudah pun diterima. 

“Pemain kebangsaan di JDT juga terlepas peluang menimba pengalaman bermain dengan pemain yang terkemuka Asia.” kata Setiusaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John.

Pada musim lalu JDT telah berjaya membawa pulang sebanyak AS60,000 (RM247,000) selepas menewaskan juara bertahan, Kashima Antlers 1-0 di lman sendiri dan kejayaan mengikat seri kelab dari Korea Selatan Gyeongnam FC 1-1.

Sebagai rekod, setiap pasukan akan mendapat AS50,000 (RM206,000) hasil daripada setiap kemenangan di peringkat kumpulan, sementara keputusan seri akn membolehkan mereka mendapat AS10,000 (RM41,200) tidak termasuk subsidi setiap perjalanan sejumlah AS60,000 (RM247,000).

Pasukan yang layak ke pusingan 16 terbaik akan memperoleh AS100,000 (RM412,000), manakala suku akhir akan memberikan hadiah penyertaan sebanyak AS150,000 (RM619,000).

Pasukan yang mara ke separuh akhir pula akan dihadiahkan AS250,000 (RM1.03 juta) manakala naib juara akan menerima AS2 juta (RM8.25 juta) dan AS4 juta (RM16.5 juta) akan dibawa pulang juara.

Sumber : Berita Harian // Foto : The Photoshooterz