Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berkemungkinan didenda sebanyak AS$50,000 (RM207,000) dan dua tahun penggantungaS daripada beraksi dalam mana-mana kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) setelah menarik diri dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.

Keputusan skuad Harimau Selatan itu dibuat susulan daripada polisi larangan ke luar negara oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah kekal seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Peraturan Kejohanan AFC Perkara 6.2, hukuman denda sebanyak AS$50,000 akan dikenakan selain penggantungan daripada beraksi selama 2 tahun dalam saingan yang dikelolakan oleh AFC.

Stuart Ramalingam, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mengakui bahawa senario terburuk itu mungkin terjadi tetapi pihaknya sedang berusaha untuk berbincang dengan AFC bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.

Stuart turut berkata, rugi sekiranya hukuman dikenakan kepada juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu kerana mereka adalah penyumbang mata utama dalam usaha memastikan Malaysia mendapat satu slot automatik ke ACL dan dua slot ke Piala AFC musim depan.

“FAM masih lagi berbincang dengan AFC mengenai penyelesaian terbaik tapi mengenai hukuman yang bakal dikenakan terhadap JDT, saya tidak boleh ulas kerana situasi itu hanya akan ditentukan oleh mereka.

“Cuma, saya harap senario terburuk seperti hukuman tersebut (penggantungan 2 tahun dan denda AS$50,000) tidak akan berlaku kerana JDT telah beraksi cemerlang dalam kejuaraan anjuran AFC sejak beberapa musim lepas,” kata Stuart.

Sebagai rekod, pasukan Pahang sebelum ini telah didenda sehingga 2 tahun kerana tidak mahu menyertai Piala AFC pada musim 2018 meskipun mendapat slot automatik dengan status selaku naib juara Liga Super edisi 2017.