Pasukan TFC kini secara rasmi bakal beraksi di kejohanan AFC Cup tahun 2021 setelah ianya diumumkan secara rasmi oleh pihak Malaysian Football League pada petang tadi. TFC secara rasmi mendapat slot ke kejohanan ini setelah saingan TM Piala Malaysia dibatalkan dan slot ini diberikan kepada pasukan yang mendudukit tempat ke-3 saingan CIMB Liga Super Malaysia.
Ianya adalah satu pencapaian yang membanggakan apabila berjaya menempatkan diri di sebuah kejohanan antara yang tertinggi di Asia malah dunia dan semestinya kesempatan ini perlu digunakan sebaiknya oleh TFC bagi mempersiapkan pasukan untuk kempen musim hadapan yang dijangka lebih mencabar.
Ini merupakan kali ke-2 pasukan Terengganu berjaya beraksi di pentas Asia setelah kali terakhir berjaya beraksi di Piala AFC pada tahun 2012. Semestinya kredit harus diberikan untuk para pemain dan pegawai pasukan TFC yang telah berusaha untuk menempatkan pasukan di tempat terbaik liga dan tidak lupa buat kesemua penyokong yang tidak pernah penat memberikan sokongan untuk memastikan pasukan mereka mampu berada di pentas yang lebih tinggi.
Tahniah diucapkan kepada kesemua yang telah berusaha keras memastikan kita beraksi di pentas Asia pada tahun hadapan! #Together We Bleed Black And White!
Tuah TFC layak ke Piala AFC
Tahun depan akan menyaksikan Terengganu FC (TFC) terpaksa bekerja lebih keras apabila pembatalan Piala Malaysia 2020 menyaksikan pasukan tersebut meraih slot ke Kejohanan AFC 2021.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, TFC ketika ini menduduki tangga ketiga Liga Super sekali gus melayakkan mereka beraksi di kejohanan peringkat Asia (Piala AFC) itu.
“Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas juga memutuskan bahawa tempat ketiga Liga Super iaitu TFC akan memperoleh slot Piala AFC 2021 selepas Piala Malaysia 2020 dibatalkan.
“Tahun ini adalah detik cukup sukar buat bola sepak di mana banyak kekangan dan halangan yang kita tempuhi tetapi saya berharap kita semua kekal mematuhi SOP serta harus bangkit untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam misi memastikan bola sepak tempatan kembali hidup,” katanya.
“Saya juga berharap pasukan yang sudah menamatkan kempen Liga Malaysia 2020 akan bersedia untuk persiapan pada musim 2021,” katanya, di sini.
Mengikut rekod, skuad bimbingan Nafuzi Zain berjaya mengekalkan kedudukan ketiga Liga Super selepas mengharungi 11 perlawanan.
Skuad TFC berjaya mencatatkan 6 kemenangan, 1seri dan 4 kekalahan dan memungut 19 mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah.