Peminat bola sepak Malaysia hampa selepas harapan untuk menyaksikan  Safawi Rasid, ‘budak emas’ Harimau Malaya, diturunkan dalam aksi Liga Portugal melibatkan Portimonense menentang Porto FC pada awal pagi Isnin lalu tidak kesampaian.

Susulan itu, ribuan peminat bola sepak tempatan menyerang laman sosial kelab Portimonense termasuklah mengutuk percaturan pasukan itu yang dilihat seperti ‘peram’ bakat Safawi yang hanya memanaskan bangku simpanan sahaja.

Sebagai rekod, Safawi telah dipinjamkan kepada Portimonense selama semusim daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan harapan dapat mengembangkan karier pemain berbakat tersebut di pentas Eropah.

Safawi Rasid telah hampir dua bulan berkelana di Portugal hanya mendapat minit permainan bersama skuad bawah 23 (B-23) Portimonense SC ketika menentang skuad Sporting Lisbon B-23 pada pertengahan bulan lalu.

Bagaimanapun, penyokong bola sepak negara harus memahami situasi yang dialami oleh Safawi. Meskipun Portimonense bukanlah kelab ternama di Portugal, barisan pemain yang mewakili pasukan itu sememangnya memiliki kualiti tersendiri.

Perkara itu diakui oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), pemilik kelab JDT yang menyeru agar peminat faham dan percaya de­ngan proses perjalanan karier bola sepak pemain di Eropah.

“Pemain kita datang daripada negara ranking rendah dunia dan apabila pemain kita ke luar negara, mereka akan ada pesaing dalam pasukan mereka sendiri dari negara seperti Brazil, Colombia atau Ukraine yang berada di ranking sangat tinggi dalam dunia.

“Walaupun pemain kita berbakat, mereka perlu masa untuk berkembang. Kita kena hormati masa yang diberikan oleh kelab Portimonense dan kita kena percaya proses tersebut,” kata TMJ dalam satu kenya­taan baru-baru ini.

Datuk Ong Kim Swee, bekas pengendali skuad Harimau Malaya, percaya bahawa khidmat penye­rang sensasi negara, Safawi Rasid akan digunakan oleh skuad kendalian Paulo Sergio itu tetapi pendedahan buatnya akan dilakukan secara berperingkat.

“Kita kena faham pasukan di sana membentuk pemain bukan secara terburu-buru.

“Perlu diingat sejak Safawi tiba di sana dia berlatih bersama skuad utama, namun diturunkan terlebih dahulu untuk beraksi bersama skuad B-23 kelab bagi menyesuaikan diri dengan corak permainan di Liga Premiera.

“Kalau benar Safawi tidak ada dalam perancangan skuad utama,­ sudah tentu dia tidak dibenarkan menjalani latihan ber­sama mereka,” kata Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee mengakui perbezaan ketara dari sudut kualiti dan permainan di Eropah dengan bola sepak tempatan adalah sangat ketara.

“Saya percaya Safawi mempunyai semangat juang yang tinggi untuk terus bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Tetapi saya percaya satu hari nanti apabila peluang diberikan kepada Safawi,  tentu dia akan dapat memanfaatkan peluang ini untuk kekal bersama pasukan utama.

Artikel Penuh : Sukan Kosmo