Insurans adalah pemindahan risiko daripada seorang individu seperti anda, atau sebuah organisasi, seperti syarikat anda, kepada syarikat insurans. Anda atau syarikat anda akan dikenali sebagai pemegang polisi. Syarikat insurans akan menerima bayaran daripada anda dalam bentuk premium dan sekiranya anda mengalami sebarang kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar pampasan kepada anda.
Takaful adalah pelan perlindungan berdasarkan prinsip Syariah. Dengan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan ( tabarru ), anda memeterai kontrak ( aqad ) bagi membolehkan anda menjadi seorang peserta dengan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian yang ditetapkan.
Kedua-dua insurans dan takaful mempunyai prinsip asas yang sama. Sebagai contoh, pemegang polisi ( anda ) mestilah mempunyai kepentingan yang sah terhadap barang atau hayat yang diinsuranskan. Ini bermakna, anda akan menanggung kerugian kewangan sekiranya berlaku sesuatu kerosakan atau kehilangan kepada harta benda atau hayat yang diinsuranskan.
Anda tidak perlu membeli lebih daripada satu polisi atau pelan untuk melindungi harta anda. Sekiranya anda memiliki lebih daripada satu polisi, anda hanya boleh membuat satu tuntutan jika sebarang kerugian atau kerosakan berlaku.
Jumlah yang boleh dibayar akan disumbangkan oleh syarikat-syarikat insurans yang terlibat. Oleh itu, anda tidak boleh meraih keuntungan daripada polisi insurans am atau pelan takaful. Sekiranya anda mengalami kerugian, syarikat insurans akan membayar pampasan yang setimpal atau anda akan ditetakkan kepada keadaan yang sama sebelum berlaku kerugian. Walau bagaimanapun, anda boleh membeli lebih daripada satu polisi untuk melindungi hayat anda. Kontrak insurans atau takaful adalah atas prinsip penuh percaya mutlak .
Oleh itu, anda sebagai pemegang polisi atau pelan haruslah mendedahkan semua maklumat penting yang diperlukan. Sekiranya anda gagal mendedahkan maklumat berkenaan, polisi atau pelan anda mungkin tidak sah dan anda tidak akan dilindungi ke atas sebarang kerugian atau kerosakan.
Selain itu, di bawah pelan takaful, anda boleh menikmati perkongsian lebihan daripada dana takaful, berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tahun tersebut.
Panduan Memilih Insurans Yang Terbaik Sebelum Buat Pilihan
Pemilihan pelan insurans yang terbaik boleh mengelirukan sesiapa yang hendak mencari insurans untuk perlindungan diri mereka. Terdapat pelbagai pelan perlindungan dan di sini, anda boleh ikuti beberapa panduan untuk memilih insurans yang terbaik sebelum membuat pilihan.
#1. Pastikan Anda Membeli Daripada Syarikat Insurans Berlesen Melalui Ejen Insurans Yang Sah
Membeli insurans hayat merupakan satu perkara yang penting sebagai jaminan kewangan untuk keluarga di masa hadapan. Senarai syarikat insurans berlesen boleh di peroleh di laman web Bank Negara Malaysia dan sekiranya anda perlu maklumat lanjut, hubungi Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).
#2. Buat Perbandingan Kadar Premium
Meneliti dan membuat perbandingan kadar premium dan manfaat insurans daripada beberapa syarikat insurans. Pastikan anda membuat perbandingan di antara polisi yang serupa kerana tidak semua polisi insurans mempunyai manfaat yang sama.
#3. Fahami Skop Perlindungan, Terma Dan Syarat Polisi
Pastikan anda memahami semua peruntukan di dalam polisi yang ingin anda beli. Jika perlu, dapatkan penerangan daripada syarikat insurans. Berhati-hati jika anda dijanjikan bonus atau skala dividen.
#4. Elakkan Sebarang Perlindungan Yang Tidak Perlu
Jangan rasa tertekan untuk membeli produk-produk yang di pakej sekali yang mungkin mengandungi perlindungan tetap yang tidak diperlukan. Walau bagaimanapun, anda boleh membuat pilihan bagi mendapatkan perlindungan tambahan atau rider dengan premium tambahan yang memberi nilai pulangan yang lebih baik.
#5. Pastikan Insurans Hayat Yang Dicadangkan Benar-benar Sesuai Untuk Anda
Semak polisi yang dicadangkan dengan teliti bagi memastikan ia menepati keperluan peribadi anda.
#6. Periksa Tarikh Insurans Anda Berkuat Kuasa
Tarikh insurans anda berkuat kuasa mungkin berbeza daripada tarikh syarikat insurans anda mengeluarkan polisi itu. Tanya ejen insurans anda bilakah tarikh polisi anda berkuat kuasa.
#7. Isi Borang Permohonan Anda Dengan Teliti
Jangan menandatangani cadangan atau borang permohonan kosong. Pastikan semua maklumat di dalam borang cadangan anda lengkap dan tepat bagi mengelakkan kelewatan atau tuntutan ditolak.
#8. Pastikan Premium Dibayar Kepada Syarikat Insurans
Pastikan anda membuat pembayaran cek atau kiriman wang kepada syarikat insurans dan bukan kepada ejen insurans dan minta resit selepas pembayaran sebagai bukti pembayaran.
#9. Baca Polisi Anda Apabila Anda Menerimanya
Anda diberi masa selama 15 hari untuk meneliti kandungan polisi selepas menerimanya. Gunakan peluang ini untuk memastikan polisi itu benar-benar sesuai untuk anda.
Semoga anda menjadi seorang pengguna yang bijak dan tidak mudah tertipu.