Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah dimaklumjan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa kelab gabungannya, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menarik diri dari Liga Juara-Juara AFC 2020.
Kelab JDT telah menunjukkan bahawa ia tidak dapat melakukan perjalanan ke Doha, Qatar untuk bersaing dalam baki pertandingan berpusat Liga Juara-Juara AFC 2020 (Zon Timur) yang dijadualkan bermula pada 18 November 2020.
Kenyataan itu baru sahaja dikeluarkan oleh AFC melalui sesawang rasmi badan itu di sini.
Dengan berpandukan kepada Artikel 6.1 dan 6.2.1 Peraturan Pertandingan AFC Champions League 2020, semua perlawanan Johor Darul Ta’zim dibatalkan. Untuk mengelakkan keraguan, semua mata dan gol dalam perlawanan tersebut tidak akan dipertimbangkan ketika menentukan kedudukan akhir (ranking) di Peringkat Kumpulan.
Berikutan itu, hanya tiga kelab yang akan menyertai Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC 2020 iaitu Visel Kobe (Jepun), Guangzhou Evergrande (China) dan Samsung Suwon Bluewings (Korea Selatan).
Jadual perlawanan terbaru untuk Liga Juara-Juara AFC (Timur) boleh didapati di sini.
Namun di dalam kenyataan tersebut badan AFC tersebut tidak ada menyebut tentang hukuman dan denda terhadap JDT.
Berpandukan kepada kes yang hampir sama dari kelab Al-Wahda, susulan dari pandemik Covid-19 juga, kelab tersebut terlepas dari sebarang hukuman dan penggantungan.
Al Wahda dari UAE turut menghadapi kes yang sama seperti JDT pada September lepas. Semua keputusan yang melibatkan Al Wahda dalam saingan ACL 2020 turut dibatalkan.
Penarikan diri JDT dan keputusan dari badan AFC juga mendapat liputan dari Japan Times kerana Vissel Kobe turut berada sama kumpulan dengan JDT.