Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah membuat keputusan untuk membatalkan baki perlawanan TM Piala Malaysia pada musim ini setelah Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak rayuan yang dikemukakan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu, semalam.
Keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini.
Datuk Ab Ghani Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, berkata, MFL akur dengan keputusan MKN untuk tidak memberi kebenaran kejohanan bola sepak tertua Asia Tenggara itu diteruskan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.
Datuk Ab Ghani berkata, MFL membuat keputusan berkenaan demi kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terlibat dalam kejohanan Piala Malaysia, selain daripada menghormati kontrak pemain pasukan Liga-M yang bakal tamat hujung bulan ini.
“Pertama, MFL sentiasa peka dengan saranan daripada MKN. Kerajaan telah menyarankan supaya tidak meneruskan pertandingan Piala Malaysia 2020.
“Sudah tentu dalam surat rayuan sebelum ini, MFL menyediakan perancangan cukup rapi selaras dengan panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan Piala Malaysia 2020 dapat diteruskan. Tetapi seperti yang saya katakan MFL sentiasa peka dengan saranan pihak kerajaan,” kata Ab Ghani.
Beliau turut berkata, MFL mengambil keputusan untuk membatalkan saingan Piala Malaysia kerana lapan buah pasukan yang sudah mengesahkan tiket ke suku akhir, bakal berdepan dengan ketiadaan pemain selain perlu menanggung kos lebih tinggi.
Sementara itu, beliau memaklumkan Terengganu FC yang menduduki tangga ketiga Liga Super musim ini diberikan slot kedua ke saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 berikutan pembatalan Piala Malaysia 2020.
Mengikut format yang dicadangkan MFL sebelum ini, juara Piala Malaysia bakal mengisi slot kedua Piala AFC 2021.
Johor Darul Ta’zim (JDT) yang meraih kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2014, layak secara automatik ke saingan Liga Juara-juara AFC 2021, manakala naib juara Liga Super musim ini Kedah mengisi slot pertama ke Piala AFC 2021.
MFL pada Selasa lepas telah mengemukakan rayuan rasmi kepada MKN untuk meneruskan baki saingan Piala Malaysia pada musim ini dengan SOP ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat di tempat yang tidak dikenakan PKPB.
MFL telah mencadangkan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan dan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang digunakan sebagai gelanggang berkecuali untuk aksi suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia.
Foto : The Photoshooterz