Juara Liga Super Malaysia tujuh musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) secara sah telah melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC peringkat kumpulan tahun hadapan, 2021. Berpandukan kepada format, juara Liga Super akan layak ke peringkat kumpulan ACL tahun berikutnya selain dari kedudukan ‘AFC Club Competitions Ranking’ yang diambil kira pada akhir tahun 2019.
JDT meraih gelaran juara Liga Super setelah berjaya menewaskan Sabah 4-1 di Stadim Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 2 Oktober lepas. Perlawanan itu adalah perlawanan ke-10 Liga Super sebelum menamatkan musim ini dengan kemenangan ke atas Melaka United 5-0 minggu berikutnya.
Kejayaan itu turut mencatat rekod penyertaan JDT, wakil tunggal dari Malaysia, buat kali ketiga dan tiga tahun berturut-turut dalam saingan ACL peringkat kumpulan. Sehingga kini belum ada lagi pasukan dari Malaysia yang berjaya beraksi dalam peringkat kumpulan ACL, kejuaraan tertinggi Asia selain dari JDT.
Selain itu juga, JDT merupakan kelab pertama dari Asia Tenggara yang telah layak ke peringkat kumpulan tahun hadapan. Ia diikuti oleh United City dari Liga Filipina. United City mengesahkan kelayakan mereka pada 09 November 2020 setelah menewaskan Stallion FC pada 06 November lepas.
Pasukan ketiga dari Asia Tenggara pula adalah pasukan Viettel FC (The Cong) dari Liga Vietnam setelah menewaskan pencabarnya Sai Gon FC pada perlawanan terakhir Liga mereka, 08 November 2020.
Tiga slot lagi adalah dari Thailand (2) dan Singapura (1). Ia akan diisi setelah selesai liga negara mereka masing-masing.

Ada 6 slot yang dikhaskan untuk kelab-kelab dari Asia Tenggara iaitu Thailand (2), Filipina (1), Vietnam (1), Malaysia (1) dan Singapura (1).

Liga Juara-Juara AFC pada tahun hadapan ada penambahan dari segi penyertaan di peringkat kumpulan mejadi 40 pasukan yang akan dibahagikan kepada 8 kumpulan (4 Asia Timur dan 4 Asia Barat). Sebelum ini hanya 32 pasukan yang dibahagikan kepada 8 kumpulan.
Tiada wakil lain dari Malaysia walaupun di peringkat kelayakan selain dari JDT. Naib juara Liga Super, Kedah hanya layak ke kejuaraan Piala AFC bersama Terengganu FC (TFC) bagi musim 2021. TFC terpilih selepas ditentukan oleh pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Bagi ACL tahun ini, cabaran JDT seterusnya sudah dilihat tiada lagi. Baki 4 perlawanan di peringkat kumpulan (Kumpulan G) tidak dapat diteruskan di Doha, Qatar setelah tidak mendapat kebenaran dari Majlis Keselamatan Negara (MKN). Skuad JDT tidak dibenarkan ke luar negara susulan dari pandemik Covid-19.
Rekod JDT Dalam ACL 2020
– Berjaya mengutip 3 mata hasil daripada 1 kemenangan dan 1 kekalahan dalam perlawanan Kumpulan G
– Menang dan berjaya menundukkan gergasi bola sepak Korea Selatan, Samsung Suwon Bluewings 2-1 pada 03 Mac 2020.
– Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri mencatat sejarah manis apabila mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama JDT di peringkat ACL di stadium baharu. Ia turut menyaksikan JDT belum tewas lagi dalam ACL di stadium tersebut.
– Penjaring gol ACL 2020 di Stadium itu adalah Gonzalo Cabrera melalui sepakan penalti (minit 13) dan gol kemenangan oleh Mauricio Nascimento pada minit ke-73 hasil bantuan (assist) Nazmi Faiz Mansor.
– Perlawanan pertama ACL 2021 di Stadium Sultan Ibrahim itu disaksikan oleh seramai 25,524 orang. Ia adalah rekod paling tinggi sejak mula beraksi dalam saingan peringkat Asia (ACL dan AFC Cup).
– JDT telah beraksi dalam ACL peringkat kumpulan sebanyak 8 kali sejak 2019. Menang 2 kali, seri sekali dan tewas sebanyak 5 perlawanan.
– 2 perlawanan yang dimenangi oleh JDT kedua-duanya di laman sendiri iaitu melawan Kashima Antlers (1-0) pada 08 Mei 2019 dan menentang Samaung Suwon Bluewings (2-1) pada 03 Mac 2020.
– JDT telah menjaringkan 7 gol dan bolos 14 gol.
– Penjaring-penjaring gol JDT dalam ACL peringkat kumpulan adalah Diogo Santo (2 gol), Safawi Rasid (2 gol), Syafiq Ahmad (1), Gonzalo Cabrera (1) dan Mauricio Nascimento (1).
– JDT telah beraksi melawan kelab-kelab dari tiga negara gergasi bola sepak Asia iaitu China, Jepun dan Korea Selatan. Hanya kelab dari Australia sahaja yang masih belum ditentang oleh JDT.
Piala Malaysia telah pun ditamatkan lebih awal kerana atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), begitu juga baki saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang tidak dapat diteruskan oleh JDT. Maka JDT hanya akan mula beraksi tahun hadapan yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.
Baca juga : JDT kelab pertama Asia Tenggara Menempah Slot ACL 2021
Selamat Tinggal Piala Malaysia