Johor Darul Ta’zim (JDT), Juara tujuh kali Liga Super, terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi pada pusingan zon Timur Liga Juara-juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) dari 18 November hingga 13 Disember depan di Doha, Qatar. Ia berikutan kerajaan Malaysia tidak membenarkan atau melarang pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, polisi berkenaan sudah dimaklumkan kepada semua pihak dan turut terpakai kepada pasukan bola sepak di negara ini.
Polisi berkenaan turut membabitkan pergerakan menteri yang turut dilarang keluar daripada negara walaupun atas urusan rasmi kerajaan.
“Polisi kita sama iaitu pintu sempadan masih ditutup iaitu warga asing tak boleh masuk manakala rakyat kita pula tidak dibenarkan keluar. Polisi ini juga tertakluk kpd semua pihak termasuk pasukan bola sepak.
“Kita tidak tahu Prosedur Operasi Standard (SOP) di luar negara. Pasukan bola sepak tidak dibenarkan kerana tertakluk kepada sempadan negara iaitu d!tutup, rakyat tidak dibenarkan malah menteri pun tidak dibenarkan.
“Dalam kes bola sepak tidak dibenarkan keluar negara untuk menjamin keselamatan kerana tidak tahu SOP yang ditetapkan di luar negara dan saya mengetahui ada pasukan negara kita akan ke Doha dan itu tidak dibenarkan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
ACL Zon Timur akan disambung semula dari peringkat kumpulan dan berterusan hingga ke Final ACL adalah pada 19 Disember ini.
JDT Kini berada di tangga kedua Kumpulan G dan masih mempunyai empat perlawanan lagi iaitu berdepan Guangzhou Evergrande dari China pada 19 November, menentang Suwon Samsung Bluewings, Korea Selatan (25 November), melawan Vissel Kobe, Jepun (1 Disember) dan kembali menghadapi Guangzhou Evergrande pada 4 Disember.
JDT sudah mengharungi dua perlawanan iaitu tewas kepada Vissel Kobe 5-1 di Stadium Misaki Park, Kobe pada 12 Februari lalu namun bangkit semula menewaskan Suwon Samsung Bluewings 2-1 di Iskandar Puteri, 3 Mac lalu.
Semua perlawanan ACL 2020 pada peringkat kalah mati, bermula dari pusingan kedua, akan dimainkan secara satu pusingan sahaja. Begitu juga perlawanan akhir yang dijadualkan di rantau Asia Barat, tidak seperti edisi terdahulu dengan format timbal balik.
Pihak pengurusan JDT telah pun dimaklumkan polisi dan keputusan tersebut dan diterima dengan baik oleh wakilnya Alistair Edwards yang juga merupakan Pengarah Teknikal JDT melalui laman sosial facebook dan twitter sebentar tadi.
“Walaupun kami sangat kecewa tidak dapat mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi kelab peringkat Asia dan juga Piala Malaysia, kami menghormati keputusan Kerajaan Malaysia dan memahami tindakan atas faktor keselamatan ini terpaksa diambil disebabkan oleh peningkatan kes pandemik Covid-19.
“Keselamatan setiap orang — termasuk skuad JDT yang bakal ke Doha — adalah satu keutamaan. Kami berdoa dan berharap agar dunia dapat mengatasi pandemik ini sebelum bermulanya musim 2021.” kata Alistair Edwards.
Baca juga : Rayuan Meneruskan Piala Malaysia Ditolak
Sumber : Harian Metro / Foto : The Photoshooterz