Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan Piala Malaysia musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan untuk membuat rayuan kepada MKN itu diputuskan dalam mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL, hari ini.

“Kami sedia maklum mengenai keputusan MKN yang mengambil kira situasi COVID-19 di negara yang menyebabkan PKPB di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan hingga 6 Disember ini.

“Bagaimanapun MFL masih berharap agar MKN dapat mempertimbangkan rayuan MFL bagi meneruskan saingan Piala Malaysia musim ini dengan perancangan khas serta SOP yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat.

“Sebagai contoh pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bermain di sebuah tempat atau negeri hingga ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir.

“Pasukan yang kalah pada perlawanan suku akhir dan separuh akhir akan pulang setelah tamat perlawanan.

“Keputusan itu turut disokong oleh lapan pasukan yang layak ke suku akhir di mana mereka bersedia untuk beraksi mengikut perancangan dan SOP seperti yang ditetapkan oleh MFL dan MKN,” kata Datuk Ab Ghani.

“Berdasarkan permohonan pertama yang dikemukakan kepada MKN sebelum ini, MFL menyediakan perancangan khas untuk menyambung saingan Piala Malaysia.

“Dalam surat permohonan itu, MFL menyediakan perancangan untuk meneruskan kejuaraan Piala Malaysia 2020 di negeri berkecuali PKPB di mana MFL sudah membuat permohonan untuk menggunakan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk aksi suku akhir, separuh akhir dan final.

“Kami amat berharap agar perancangan ini dapat dipertimbangkan kerana penangguhan saingan Piala Malaysia bakal memberi banyak kesan kepada industri bola sepak negara secara keseluruhan.

“Bagi MFL serta semua pasukan bakal terkesan terutamanya dari segi komitmen penajaan yang telah dimeterai dan ditandatangani bersama pihak penaja sekiranya pertandingan Piala Malaysia tidak dapat diteruskan.

“Agak rumit untuk MFL menangguhkan kejuaraan ini disebabkan kontrak pemain Liga Malaysia 2020 bersama pasukan bakal berakhir pada hujung bulan ini,” katanya.

Sumber : Bernama / Foto : The Photoshooterz