Sidang khas hari ini mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung peningkatan kes positif COVID-19 di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia iaitu:
• Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.
Dalam tempoh PKPB ini, KKM telahpun melaksanakan penilaian risiko dan mendapati didapati peningkatan ketara bilangan kes positif COVID-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri-negeri tersebut.
Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini telah bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri-negeri tersebut berkuatkuasa selama 4 minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020.
Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar serta mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti disamping mengekang penularan COVID-19 di negeri-negeri ini.
SOP bagi PKPB ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya:
• Pergerakan keluar masuk/merentas daerah dan negeri adalah tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada PDRM.
• Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.
• Hanya dua (2) orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan. Individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.
• Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz adalah ditutup.
• Aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid dan juga surau seperti laungan Azan, solat lima waktu dan solat Jumaat akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing
• Semua aktiviti sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan.
• Pusat-pusat hiburan dan kelab malam turut juga tidak dibenarkan.
• Semua kegiatan ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.
• Restoran/kedai makan secara dine-in dihadkan 2 hingga 4 orang satu meja dengan SOP premis makanan yang telah ditetapkan. Walaubagaimanapun, pembelian makanan digalakkan secara take away/delivery/drive thru.
• Pasar Harian dibuka jam 6.00 pagi – 2.00 petang, Pasar Borong 4.00 pagi – 2.00 petang, Pasar Tani 6.00 pagi – 12.00 tengah hari
• Operasi Pasar Malam adalah bermula 4.00 petang sehingga 10.00 malam dengan pematuhan SOP yang ketat dan dengan pengawasan dari anggota RELA.
• Operasi Stesen Minyak bermula daripada pukul 6.00 pagi hingga 10.00 malam (kecuali di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam)
• Pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, LRT, teksi/ e-hailing (maksimum 2 penumpang) dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.
• Kenderaan bawa pekerja boleh bawa penumpang seperti ditetapkan sebelum ini.
• Sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan adalah dibenarkan beroperasi.
• Waktu operasi klinik, hospital Kerajaan dan swasta dibenarkan 24 jam manakala Farmasi dan kedai ubat-ubatan mulai 8.00 pagi sehingga 11.00 malam.
Maklumat lanjut SOP boleh rujuk dilaman sesawang MKN.
Pelaksanaan PKPB di negeri-negeri di Semenanjung ini juga akan meliputi WP Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir pada 9 November 2020.
Bagi negeri Kelantan, Pahang dan Perlis, yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pergerakan rentas negeri juga adalah tidak dibenarkan. Walaubagaimanapun, pergerakan rentas daerah di dalam ketiga-tiga negeri ini masih dibenarkan seperti biasa.
Bagi negeri Sarawak, pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran daripada pihak PDRM.
Walaubagaimanapun, pergerakan rentas daerah dalam negeri Sarawak dibenarkan kecuali ke daerah Kuching.
— Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob