Setelah menunggu dengan penuh kesabaran, detik yang dinanti-nantikan Safawi Rasid akhirnya menjadi kenyataan apabila namanya telah disenaraikan dalam skuad Portimonense menentang juara Portugal, Porto esok (1.30 pagi Isnin waktu Malaysia).
Berita gembira itu telah disampaikan Safawi sendiri kepada wartawan Utusan Malaysia dalam aplikasi WhatsApp sebentar tadi.
“Alhamdulillah dah tersenarai untuk ke Porto. Main atau tidak itu keputusan jurulatih.” kata Safawi.
“Sudah tentu saya terharu, perasaan amat gembira dapat menyertai pasukan utama menentang Porto. Insya-Allah saya akan bagi yang terbaik jika saya diturunkan.
“Dalam latihan saya sentiasa berikan yang terbaik, alhamdulillah akhirnya diberi kepercayaan.
Safawi, 23, turut berkata dia akan membuang rasa gemuruh membuat kemunculan sulung dalam Liga Primeira, sebaliknya cuba bermain seperti biasa.
“Doakanlah yang terbaik untuk saya perlawanan menentang Porto,” katanya.
Safawi Rasid sebelum ini telah dipinjamkan ke Portimonense SC untuk satu musim. Tamat pinjaman tersebut, Safawi berpeluang diikat terus dengan Portimonense atau ke kelab Eropah lain.
Namun sehingga hari ini masih belum berpeluang disenarai atau beraksi dengan skuad utama Portimonense SC.
Untuk menguatkan lagi berita tersebut, Astro Arena sebelum ini ada mengumumkan akan menyiarkan perlawanan Portimonense SC bertemu Porto secara langsung.
Peminat Safawi bolehlah menunggu di depan TV pada 1.30 pagi Isnin ini untuk melihat kemunculan pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, apatah lagi lawan mereka adalah gergasi Portugal, Porto.
Sumber : Utusan Malaysia