Aidil Zafuan Radzak, pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), beranggapan Kuching FA mampu menjadi duri dalam daging jika JDT memandang rendah keupayaan wakil Liga Perdana itu.
Di atas kertas, skuad JDT menjadi pasukan pilihan untuk mara ke suku akhir apabila berdepan Kuching pada pusingan pertama TM Piala Malaysia malam ini di Stadium Larkin, Johor Bahru.
Aidil mengakui pertemuan sulung antara mereka menyulitkan JDT untuk membaca corak permainan skuad kendalian Akira Higashiyama itu.
“Undian sudah pun dibuat dan kalau kita tengok pencapaian di atas kertas, memang nampak laluan mudah untuk JDT tapi dalam bola sepak, kami tidak boleh pandang rendah mana-mana pasukan sekarang.
“Bagi saya, semua pasukan ada kekuatan masing-masing dan saya rasa ia juga mencabar untuk JDT kerana kami tidak tahu apa kekuatan pasukan Kuching FA sebab kita tidak pernah bertemu dalam saingan liga,” kata Aidil kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Tonggak Harimau Malaya itu juga menyifatkan Kuching FA pastinya mempunyai kekuatan tersendiri yang mungkin tidak diketahui dan dia tidak merasakan JDT berada di laluan mudah kerana sebagai pemain, mereka tidak pernah memandang rendah terhadap keupayaan lawan.
Sumber : Utusan Malaysia