Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan memberi pegangan saham 80 peratus kepada sebuah syarikat tempatan. Sekarang ini dipegang sepenuhnya oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.

Ia akan diserahkan sebaik proses rundingan selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar berkata pemilihan syarikat yang tidak didedahkan lagi namanya dibuat berdasarkan prestasi syarikat yang baik selain mempunyai kewangan yang kukuh.

“Persetujuan berhubung perkara ini sebenarnya sudah dibuat beberapa minggu lalu, dan peguam kedua-dua belah pihak sedang menelit! terma perjanjian yang akan dimeterai.

“Saya juga bertemu mereka semalam dan jika tiada aral melintang, perkara ini akan selesai dalam tempoh dua minggu lagi. 

“Setakat ini saya tidak mahu lagi beri petunjuk mengenai syarikat berkenaan, namun mereka memiliki pengalaman dalam bola sepak,” kata Sanusi.

Minggu lepas, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Firdaus Ahmad memaklumkan MBI Kedah mengadakan perbincangan bersama sekurang-kurangnya empat syarikat bagi tawaran pegangan 80 peratus saham berkenaan.

Baki 20 peratus saham KDA FC akan kekal dimiliki KFA.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi berkata KFA sebelum ini sudah meletakkan nilai berjumlah RM30 juta untuk pasukan Hijau Kuning pada musim hadapan.

“Jika mereka mampu membayar lebih untuk membawa pemain ternama termasuk dari luar negara, itu terpulang kepada syarikat tersebut.

“Negeri yang maju dalam bola sepak kerana mereka ada kemampuan kewangan memiliki pemain serta jurulatih terbaik dengan tawaran gaji mahal selain penyediaan kemudahan yang banyak. 

“Tetapi kita tidak boleh beli pemain dan kemudian simpan, kita tidak akan buat perkara itu.

Sumber : Berita Harian