Safawi Rasid, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dipinjamkan kepada kelab Portimonense SC dari Liga Utama Portugal untuk semusim. Sejak dipinjamkan, Safawi masih belum diberi peluang beraksi walaupun di bangku simpanan.

Namun beliau sempat berpeluang beraksi bersama skuad bawah 23 Portimonense sekali.

Tonggak Harimau Malaya itu memohon peminat bola sepak negara supaya menjaga adab dan nama baik Malaysia terutama di laman sosial rasmi kelabnya, Portimonense SC.

Safawi sedar harapan tinggi yang diletakkan oleh jutaan penyokong bola sepak tanah air yang mahu melihat beliau beraksi di Portugal selepas menyertai kelab itu pada awal bulan lalu.

Beliau berkata sudah berusaha melakukan yang terbaik bagi memikat perhatian barisan kejurulatihan namun rezekinya masih belum sampai.

Lantas, pemain kaki kiri berbisa itu berharap semua pihak bersabar dan mendoakan kejayaannya di sana.

“Saya harap penyokong bersabar. Saya tahu mereka tidak sabar untuk melihat saya tampil buat kali pertama tetapi kita jaga adab kita dan nama Malaysia kita. Apapun, terima kas!h sentiasa memberi sokongan kepada saya.

“Insya-Allah sampai rezeki saya, saya akan membuatkan penyokong gembira,” katanya apabila dihubungi semalam.

Kata Safawi, dia tidak tertekan dengan tindakan penyokong yang meletakkan harapan tinggi di bahunya.

“Bagi saya, tiada tekanan kerana kita tidak boleh mengawal mereka. Tetapi saya harap mereka dapat menjago adab kita di media sosial kerana rakyat Malaysia terkenal dengan budi bahasa yang tingg!.

“Alhamdullilah hampir sebulan saya di sini, banyak perkara yang sudah saya pelajari. Apa yang pent!ng saya perlu berusaha kuat untuk disenaraikan dan mendapat peluang beraksi,” katanya.

Safawi tetap menghargai peminat bola sepak negara yang sentiasa menyokongnya serta menganggap mereka adalah tulang belakang di atas kejayaannya selama ini.