Setelah berakhirnya undian pusingan pertama TM Piala Malaysia semalam, rata-rata penganalisis, pemerhati bola sepak termasuk bekas jurulatih kebangsaan memilih Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pasukan pilihan menjadi jura.

Wan Jamak Wan Hassan memilih JDT untuk mempertahankan kejuataan Piala Malaysia berlandaskan prestasi cemerlang Harimau Selatan dalam beberapa musim lalu.

“Jika kita tengok perkembangan terkini selain prestasi sejak beberapa musim lalu, JDT memang berada pada satu tahap di atas pasukan lain. Ini secara keseluruhannya menjurus kepada kecemerlangan pasukan berkenaan.” kata Wan Jamak.

“Bagaimanapun, saya tetap melihat dua pasukan seperti Kedah dan Perak mampu muncul sebagai pasukan yang boleh mencabar JDT dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Menurutnya, selaku juara tujuh kali berturut-turut saingan Liga Super, JDT ternyata berada dlm kelasnya yang tersendiri dan sukar digugat oleh mana-mana pasukan.

“Kuching FA yang bakal menentang JDT pada pusingan pertama nanti tidak boleh juga pandang rendah. Pahang yang dilihat tidak begitu menjadi dalam Liga Super tetapi mungkin menyerlah dalam Piala Malaysi,” katanya.

Pendapat yang sama turut dikongsi seorang lagi jurulatih berpengalaman, Datuk M Karathu yang meramalkan JDT sebagai pasukan pilihan untuk muncul sebagai juara berdasarkan keampuhan barisan pemain sedia ada.

“Jika kita tanya siapa sahaja, sudah tentu JDT menjadi pilihan juara Piala Malaysia. Tidak kira siapa lawan mereka, JDT telah membuktikan bahawa mereka sebuah pasukan yang serba lengkap.

“Dengan pemain-pemain yang JDT ada, mereka terlalu kuat dibandingkan dengan pasukan lain. Ia dibuktikan dengan rekod tanpa kalah JDT dalam saingan liga musim ini,” jelas M Karathu.

Begitupun, Karathu percaya pasukan lain seperti Selangor, Perak dan Kedah mampu menyekat impian JDT untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka musim lalu.

“Bagi saya, dengan format baharu Piala Malaysia kali ini, semua pasukan juga mempunyai peluang dan sudah pasti pasukan yang akan menentang JDT akan mengkaji di mana kekuatan dan kelemahan JDT.

“Lagi pun dengan format kalah mati, peluang terbuka untuk semua pasukan. 

“Ketiadaan perlawanan home dan away bakal menyaksikan pasukan yang konsisten akan berjaya memenangi Piala Malaysia,” katanya.

Artikel Penuh: Sinar Harian