Johor Darul Ta’zim (JDT), juara bertahan Piala Malaysia mendapat laluan mudah ke suku akhir setelah diundi menentang pendatang baharu, Kuching FA pada pusingan pertama saiingan Pila Malaysia 2020 yang bermula 6 November ini.
Skuad Harimau Selatan dijangka menurunkan pemain barisan kedua kerana pasukan utama akan berlepas ke Doha, Qatar untuk menghadapi pusingan Zon Timur Liga Juara-juara AFC dari 18 November hingga 13 Disember ini.
Sekiranya JDT mara ke suku akhir, JDT selaku juara edisi 2017 dan 2019 itu dijngka akan bertemu Kuala Lumpur yang mendapat kemenangan percuma (bye) selepas diundi menentang Sabah yang terpaksa melepaskan saingan Piala Malaysia kali ini. Sabah tidak mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dilanjutkan hingga 9 November ini.
Walau bagaimanapun, pertemuan paling sengit pada pusingan pertama dijangka membabitkan aksi juara lima kali Kedah dan juara empat kali Pahang.
Pemenang aksi antara Kedah dan Pahang itu akan sekali lagi menghadapi laluan berliku apabila terpaksa akan bertemu pemenang di antara juara 33 kali Selangor dan Melaka yang masih memburu gelaran pertama.
Majlis undian telah diadakan secara tertutup dan disiarkan secara langsung di Facebook Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Ia telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dan Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Dalam undian tersebut menyaksikan juara lapan kali Perak menerima kunjungan Kelantan United FC, manakala juara Liga Premier 2020 dan juara empat kali Pulau Pinang berdepan Felda United FC. Felda United bakal beraksi dalam saingan terakhir Liga Malaysia selepas gagal mendapatkan Lesen Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi musim 2021.
Juara 2001 Terengganu FC pula akan berdepan Petaling Jaya (PJ) City FC dan seterusnya UiTM FC diundi bertemu Kelantan.
Pusingan pertama dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 8 November ini, diikuti suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) dan perlawanan akhir pada 22 November.
Saingan kejohanan bola sepak tertua di Asia itu terpaksa dipendekkan menerusi format kalah mati. Ia tidak membabitkan perlawanan peringkat kumpulan dan aksi timbal balik pada musim ini susulan pandemik COVID-19.
Kesemua 11 pasukan teratas Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier (tidak termasuk pasukan ‘reserve’) layak beraksi pada Piala Malaysia musim ini.
Senarai penuh undian pusingan pertama Piala Malaysia 2020 :
1. Pulau Pinang lwn Felda United FC
2. UiTM FC lwn Kelantan
3. JDT lwn Kuching FA
4. Kuala Lumpur – mendapat ‘bye’
5. Terengganu FC lwn PJ City FC
6. Perak lwn Kelantan United FC
7. Kedah lwn Pahang
8. Selangor lwn Melaka
Artikel Asal : Berita Harian
Foto : The Photoshooterz