Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) telah bertindak mengenakan hukuman gantung dua (2) tahun ke atas pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selepas didapati bersalah melanggar terma kontrak dengan PBNP.
Dalam sesi pendengaran perbicaraan kes Sumareh yang dipengerusikan oleh Rizal Chek Hashim di Kuantan hari ini, sebanyak empat pertuduhan dikenakan terhadap Sumareh seperti yang dilaporkan oleh PBNP dan skuad Liga Super Pahang kepada jawatankuasa berkenaan.
Pertuduhan pertama – Sumareh bersalah melanggar artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 10.05 perlembangaan PBNP 2004 iaitu membuat kenyataan akhbar tanpa mendapat kebenaran daripada PBNP.
Pertuduhan kedua – Sumareh bersalah melanggar artikel 6.6 kontrak pemain di mana merujuk perkara itu terus kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) (Disppute Resolution Chamber) tanpa terlebih dahulu kepada National Dispute Resolution Chamber Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pertuduhan ketiga – Sumareh didapati bersalah melanggar artikel 5.1 kontrak pemain di mana dia gagal menghadirkan diri di sesi latihan bersama skuad Pahang bermula 3 Ogos hingga 28 Ogos 2020.
Pertuduhan keempat – Sumareh didapati bersalah melanggar artikel 5.1 kontrak pemain apabila gagal menghadirkan diri pada perlawanan Liga Super antara Pahang menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kuantan pada 28 Ogos 2020.
Rizal berkata, berdasarkan kepada perkara 6 perlembangaan PBNP 2014 dan juga berdasarkan kepada kod tatatertib FAM (edisi 2015), jawatankuasa itu mengenakan hukuman 2 tahun gantung daripada mengambil bahagian dlm aktiviti yang berkaitan dengan sukan bola sepak terhadap Sumareh bagi setiap pertuduhan.
Keempat-empat pertuduhan terbabit dijalankan serentak.
Keputusan ini akan dimaklumkan kepada FAM untuk dipanjangkan kepada pihak berkaitan,” katanya.
Rizal turut berkata, pertuduhan itu dibuat dan melalui proses not!s dan pendengaran seperti termaktub di dalam peruntukan undang-undang PBNP.
“Sumareh diberi notis sebanyak dua kali bagi menjawab pertuduhan dan juga diminta untuk had!r bagi menjawab segala pertuduhan tetapi beliau memilih untuk tidak hadir,” katanya.
Sebelum ini, Sumareh mencetuskan kontroversi setelah dilaporkan tidak menyertai latihan bersama skuad Pahang kira-kira sebulan.
Terdapat dakwaan juga bahawa dia bertindak demikian kerana masalah pembayaran gaji dengan PBNP.
Sumareh juga didakwa sudah membatalkan kontrak bersama Tok Gajah dengan mengaktifkan klausa 8.7 dalam kontraknya.
Dalam keadaan kontroversi itu, Sumareh kini beraksi di Liga Thailand bersama kelab Police Tero FC.
Sumber : Harian Metro
Foto : Police Tero FC