Tonggak pasukan Felda United, Muhammad Danial Amier Norhisham memiliki kualiti setanding dengan barisan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas beliau sah menyertai kelab itu untuk saingan Liga Malaysia mulai musim depan.
Pandangan itu diluahkan bekas pengendali The Fighters, B. Sathianathan yang percaya dan yakin Danial Amier, 23, tidak mempunyai masalah untuk merebut tempat dan berada dalam kesebelasan utama JDT.
Ia berdasarkan peningkatan mendadak ditunjukkan Danial Am!er sejak diberi peluang bersama Felda United pada tahun 2017 sehingga berjaya menunjukkan kematangan di atas padang.
“Saya gembira melihat Danial Amier berjaya sehingga dipancing JDT. Sepanjang dua tahun membimbing dia di Felda United, saya tidak pernah mempunya! masalah dengan komitmennya.
“Walaupun diberi peluang seawal usia 19 tahun, namun dia mempamerkan kualiti dan ketenangan di atas padang sehingga mengatasi pemain-pemain yang lebih senior di posisi tersebut.
“Saya berharap dia dapat buktikan keupayaan bersama JDT. Saya percaya dia tidak mempunyai masalah untuk merebut kesebelasan utama di JDT,” kata Sathianathan kepada Kosmo.
Sathianathan, 62, pernah berusaha menandatangani khidmat pemain tengah Harimau Malaya itu ketika menjadi ketua jurulatih Selangor sebelum ini tetapi usahanya terbantut disebabkan klausa bernilai RM1 juta.
“Saya memang mahu bawa Danial Amier ke Selangor, namun klausa pelepasan diletakkan Felda United agak tinggi. Saya juga difahamkan JDT sudah lama merisik khidmatnya dan sudah tentu dia memilih ke kelab itu berbanding Selangor,” jelasnya.
Sumber : Kosmo Sukan