Camilo Da Silva Sanvezzo, pemain Liga Mexico, akan menggantikan Diogo Luís Santo, berasal Brazil menyarung jersi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) musim hadapan. 

Pemilik Kelab Bola sepak JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata Da Silva Sanvezzo akan menggantikan Diogo Santo yang akan meninggalkan JDT dan kembali semula ke Thailand selepas tamat kempen Piala Malaysia musim ini.

TMJ bertitah kelabnya telah lama mengintai pemain Brazil berusia 32 tahun itu yang merupakan pemain kelab Tijuana, Mexico sebelum ini.

“Kami sudah lama mahu bawa Camilo Da Silva ke JDT kerana cara permainan dia sesuai dengan JDT, namun oleh kerana bajet yang kurang, saya kena tunggu lagi satu atau dua tahun dan bersabar.

“Alhamdulillah, kini kami hanya tunggu kontrak Da Silva Sanvezzo selesai dan dalam masa beberapa bulan sahaja lagi, kelab saya akan dapat menandatangani pemain tersebut,” titah baginda di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Turut yang akan menyertai JDT adalah pemain tengah kelab Felda United FC Muhammad Daniel Amier Norhisham, 23 tahun.

“Selain daripada Camilo yang akan datang untuk menggantikan Diogo, pada 1 Disember ini, Daniel Amir turut akan menjadi pemain JDT secara rasmi. Dia bintang negara yang amat berpotensi besar dan akan dapat banyak pendedahan apabila berada bersama JDT nanti serta berpeluang beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun depan,” titah baginda. 

Tambah Tunku Ismail, JDT juga akan menghantar pasukan yang seimbang untuk penyertaan dalam saingan Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim hadapan.

Baginda bertitah, disebabkan dua pertandingan besar itu sering tertangguh dan memberi kesan kepada persiapan pemain, keputusannya untuk menghantar pasukan seimbang itu dianggap tepat dan bersesuaian.

Selain itu, Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora juga akan mengambil alih tugas sebagai pengurus kelab JDT menggantikan Luciano Figueroa yang telah tamat perkhidmatannya.