Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Terengganu FC (TFC) dan Selangor adalah empat pasukan Liga Super yang dilihat memiliki peluang cerah  menjulang kejuaraan Piala Malaysia yang akan berlangsung dari 6 hingga 22 November ini.

Rezal Zambery Yahya, bekas pemain kebangsaan, berpendapat juara Liga Premier Pulau Pinang pula dijangka bakal melakar kejutan pada kejohanan bola sepak tertua tanah air itu, berdasarkan taktikal mantap pengendalinya Manzoor Azwira Abd Wahid dan juga kehadiran beberapa pemain import berbisa.

“Tidak mustahil dalam saingan seperti ini kita akan menyaksikan kejutan sebab sejarah telah membuktikan pasukan2 yang tidak beri keutamaan secara tiba-tiba mampu menonjol,” kata Rezal Zambery Yahya.

Rezal turut mengakui, format kalah mati yang bakal digunakan pada saingan Piala Malaysia musim ini dijangka menjadi bertambah mencabar untuk pasukan pilihan memburu slot ke pusingan seterusnya.

Rezal berkata, kesemua 16 pasukan bertanding perlu mengelak sebarang kesilapan, selain menggunakan semua pemain terbaik yang dimiliki bagi memastikan mereka mampu pergi lebih jauh kali ini.

16 pasukan yang layak adalah 11 pasukan Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier.

“Format ini mungkin menggusarkan pasukan dan pemain kerana sudah b!asa melalui saingan peringkat kumpulan, mereka masih boleh mencatur peluang jika seri atau kalah, tetapi tidak pada saingan kali in!.

“Jadi, situasi pada saingan Piala Malaysia kali ini nyata berbeza kerana pemain dituntut berikan lebih 100 % kerana hanya kemenangan dalam setiap perlawanan sahaja mampu membawa mereka ke peringkat seterusnya,” kata Rezal.

Format Piala Malaysia musim ini diubah daripada perlawanan peringkat kumpulan, kepada saingan kalah mati bermula pusingan pertama hingga separuh akhir berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pusingan pertama Piala Malaysia akan berlangsung pada 6 hingga 8 November, diikuti aksi suku akhir pada 12 hingga 13 November, separuh akhir pada 17 November, serta aksi final pada 22 November ini.