Legenda Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa telah mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Harimau Selatan apabila beliau akan pulang ke Argentina. Beliau tidak akan bersama pasukan JDT pada musim akan datang.
Pengumuman itu telah dibuat menerusi laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers (JST) hari ini sambil Figueroa mengakui sedih untuk meninggalkan ‘keluarga’ JDT.
Sejak dua musim lalu beliau yang dilantik sebagai pengurus pasukan telah berjaya membawa pasukan JDT memenangi kejuaraan Liga Malaysia (Liga M) termasuk mengekalkan trofi Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut bulan lalu.
“Dengan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa sayangnya masa saya di Johor telh berakhir disebabkan perlu kembali ke Argentina kerana komitmen keluarga.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), Kelab Johor Darul Ta’zim serta penyokong atas sokongan tidak berbelah bagi yang saya perolehi sebagai pemain dan pengurus.
“Saya pergi dengan penuh kenangan manis. Saya amat terharu dengan penamaan sebuah ‘stand’ di Stadium Sultan Ibrahim bersempena nama saya. Ia perjalanan yang indah, memenangi banyak piala dan menjalinkan banyak hubungan dengan rakan-rakan baharu yang kini saya panggil keluarga,” katanya.
Sebagai rekod, ketika beraksi sebagai pemain untuk skuad Harimau Selatan sejak 2014, beliau berjaya menjaringkan 42 gol dan ia adalah pencapaian terbaik selaku pemain import. Figueroa juga telah melakukan 14 bantuan jaringan (assist ) selepas mengharungi 71 perlawanan.
Luciano Figueroa, bekas pemain kebangsaan Argentina telah memenangi dua kejuaraan Liga Super pada musim 2014 dan 2015 selain Piala Sumbangsih pada 2015 sebelum disusuli kejayaan terbesar pada tahun 2015 apabila JDT membawa pulang Piala AFC.
Pada 2018, Figueroa kembali menyarung jersi skuad Harimau Selatan dan kemudian membantu pasukan itu memenangi Piala Sumbangsih.
Pada Ogos tahun yang sama beliau dilantik sebagai pengurus pasukan.
Pelantikan Figueroa selaku pengurus pasukan ternyata memberi kesan buat JDT apabila memenangi Piala Sumbangsih (2019), juara liga (2019) dan turut menjuarai Piala Malaysia pada musim yang sama.
Menghargai pencapaian membanggakan itu, JDT mengabadikan satu kawasan tempat duduk di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, dengan menamakan sebagai `Luciano Figueroa Stand’.
Figueroa yakin pengendali pasukan, Benjamin Mora mampu meneruskan dominasi JDT dalam arena bola sepak tempatan.
“Saya percaya Benjamin Mora, yang merupakan sebahagian kunci utama kejayaan JDT dalam pelbagai cara di belakang tabir baru-baru ini, Pengarah Teknikal, Pengarah Sukan dan tentu sekali Tunku Mahkota Johor akan terus membawa kejayaan berterusan kepada kelab.
“Selamat maju jaya buat JDT dan semoga kita akan bersatu semula pada masa akan datang”.
Sumber : Harian Metro