Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi isyarat awal mahu terus menguasai kancah bola sepak tanah air pada musim depan setelah melanjutkan kontrak beberapa pemain utama hari ini.
Pelanjutan kontrak itu disiarkan menerusi satu kenyataan ringkas yang dimuat naik skuad Harimau Selatan dalam akaun Facebook rasmi Johor Southern Tigers, namun tidak menyatakan berapa lama pelanjutan kontrak tersebut.
Menerusi kenyataan tersebut, turut dimuat naik beberapa keping gambar pemain yang menandatangani kontrak sambil disaksikan oleh pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Antara pemain yang dilanjutkan kontrak itu adalah S Kunanlan, Gary Steven Robbart, Mohd Farizal Marlias, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Muhammad Ramadhan Saifullah Usman, Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid.
Ia juga turut melibatkan pemain pasukan JDT II antaranya Muhammad Aiman Danish Azli Abdul Azim dan Muhamad Feroz Baharudin.
Sumber : Sinar Harian