“Saya masih belum berpuas hati dengan permainan saya biarpun turun dalam kesebelasan utama.”

Begitulah kata bintang bola sepak negara, selepas turun beraksi buat pertama kalinya bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) Portimonense SC menentang Sporting CP kelmarin.

Jelas tonggak sayap berkaki kiri itu, permainan pantas Liga Portugal terutamanya saingan membabitkan saingan B-23, nyata cukup berbeza dengan Liga Malaysia.

Katanya, dia mahu segera menyesuaikan diri dan percaya akan tampil lebih bertenaga dan sekali gus cuba mengetuk pintu skuad utama Portimonense SC. 

“Di sini perbezaan corak permainan sangat lain, ia lebih laju, teknik dan fizikal juga semua berbeza dan perlu buat keputusan dengan cepat.

“Ini permulaan yang baik untuk saya walaupun bermula dengan pasukan bawah 23 tahun. Masih banyak yang saya perlu pelajari terutama menyesuaikan diri dengan cuaca dan corak permainan.

“Secara keseluruhan saya kurang berpuas hati dengan aksi semalam (kelmarin) kerana gagal membantu pasukan menang tapi ia satu pengalaman  yang berharga.” kata Safawi setelah dihubungi oleh wakil Sukan Metro.

Pada aksi itu, Safawi yang sipinjamkn selama semusim oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) disenaraikan dalam kesebelasan utama.