“Pemain simpanan Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu membarisi kesebelasan utama pasukan lain dalam Liga Malaysia.”
Ia diakui pengkritik bola sepak negara, Serbegeth Singh yang memberi gambaran betapa skuad Harimau Selatan itu sememangnya memiliki kualiti yang tiada tandingan sekali gus jadi bukti kepada penguasaan itu dalam kancah bola sepak tempatan.
Dengan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sudah dalam tangan, Serbegeth menjangkakan dominasi total JDT akan berterusan untuk musim-musim yang mendatang ini.
“Kalau kita ambil kira kemampuan pemain tempatan JDT, mereka sudah ada pemain terbaik dan kedua terbaik di setiap posisi dan kualiti inilah yang menjadi antara penyumbang terbesar membantu perkembangan dan kejayaan mereka meraih trofi demi trofi musim demi musim.
“Saya melihat dengan himpunan kelompok bintang ini, persaingan yang hebat pasti disaksikan di setiap sesi latihan kerana masing-masing perlu membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik dalam kalangan yang terbaik untuk diturunkan dalam setiap perlawanan.
“Tidak ada penumpang dalam pasukan itu kerana semua berusaha memberikan komitmen sepenuhnya. Penain simpanan mereka pun ada kualiti dan pasti diturunkan dalam kesebelasan utama kalau bersama pasukan lain.
“Dengan kualiti sebegini ditambah pula faktor lain seperti pengurusan yang baik, kecintaan dan cira-cita besar yang ditunjukkan oleh pemilik JDT, mereka pasti akan terus menguasai saingan domestik,” kata Shebby.
Terdahulu skuad Benjamin Mora itu layak bergelar ‘Maharaja Liga Super’ selepas mencipta rekod memenangi kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut dan sekali lagi mengulangi pencapaian rekod tanpa kalah dalam semusim seperti yang dilakukan pasa 2016.
Malah mereka turut menyambar semua rekod pada musim ini apabila gah muncul sebagai jentera serangan paling berbisa (33 gol) dan juga pertahanan paling ampuh (bolos 8 gol) yang membolehkan mereka muncul pasukan meraih kemenangan terbanyak musim ini.
Artikel Penuh : Berita Harian, 15 Oktober 2002
Foto : The Photoshooterz