Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berupaya mengekalkan prestasi cemerlang mereka dalam saingan Piala Malaysia akan bermula 25 Oktober ini, walaupun tanpa kehadiran tonggak pasukan Muhammad Safawi Rasid.
Ia dibuktikan dengan kejayaan JDT menundukkan Melaka 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Sabtu lepas.
Jurulatih skuad JDT, Benjamin Mora berkata dengan ketiadaan pemain berusia 23 tahun itu, ia juga memberi peluang kepada pemain lain untuk menyerlah dan membantu persiapan pasukan untuk aksi Piala Malaysia.
“JDT bukan mengenai seorang pemain sahaja. Kami semua sayangkan Safawi Rasid kerana dia seorang pemain yang hebat, berkeyakinan tinggi. Kami percaya ia adalah keputusan terbaik untuknya beraksi di luar negara. Kami di sini perlu teruskan permainan dan beraksi dalam satu pasukan.
“Seseorang bakal menggantikan tempatnya Safawi … kami dapat melihat bagaimana prestasi pemain malam tadi. Kami akan membuat perancangan untuk permainan dan sesi latihan berikutnya,” kata Mora.
Mora berkata perancangan kali ini adalah untuk memberi peluang kepada pemain yang tidak beraksi dalam perlawanan sebelum. Ia sebagai langkah membina keyakinan untuk saingan Piala Malaysia akan datang.
Foto : The Photoshooterz