Bintang bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid kini pemegang status pemain paling mahal di Malaysia apabila beliau dianggarkan menerima gaji sekitar AS$15,000 hingga AS$25,000 sebulan iaitu bersamaan RM62,000 hingga RM103,000 dengan kelab liga utama Portugal, Portimonense FC.

Berita ini dipetik melalui akhbar Harian Metro semalam. Nilai berkenaan diyakini antara tertinggi pernah diterima pemain tempatan sama ada ketika beraksi dalam saingan Liga Malaysia mahupun bersama kelab luar negara.

Menurut ejen terkenal yang enggan namanya didedahkan, berdasarkan nilai pasaran semasa Safawi mengikut www.transfermarkt.com, tanda harga semasa pemain berusia 23 tahun itu ketika ini mencecah 300,000 Euro atau menghampiri RM1.5 juta.

Katanya, tanda harga itu biasanya meletakkan pendapatan pemain tidak melebihi RM150,000 sebulan dan jika benar, tonggak sayap JDT dan Harimau Malaya itu boleh dianggap sebagai pemain paling mahal di negara ini.

Malah, tanda harga Safawi mampu meningkat dua kali ganda seandainya dia kekal untuk tempoh lebih lama atau dilamar kelab gergasi Portugal seperti Benfica, FC Porto dan Sporting CP atau dulu dikenali Sporting Lisbon.

“Kalau Safawi mendapat kontrak dengan kelab lain yang beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah macam Porto, saya rasa nilai dia boleh cecah setengah juta. Jadi, Safawi boleh raih hampir RM2 juta hingga RM3 juta sebulan kalau dia dapat berpindah ke kelab yang bermain di peringkat tertinggi benua Eropah.

“Jika bukan kelab ternama Portugal sekalipun, kelab luar seperti di Itali atau Sepanyol mungkin destinasi terbaik buat Safawi meraih pendapatan besar seperti itu. Tapi kita kena ingat, pengiraan itu hanya secara kasar yang biasa diterima pemain di Eropah yang datang dari Asia. 

Namun nilai sebenar san gajinya hanya diketahui kelabnya, Portimonense SC dan JDT (Johor Darul Ta’zim).

“Cuma apa yang boleh digambarkan, Safawi saat ini adalah pemain termahal negara dan itu kita harus akui,” katanya.

Artikel Penuh : Harian Metro