Safawi Mempunyai Pakej Lengkap Untuk Beraksi Di Eropah

Kemahiran teknikal yang baik, rembatan kaki kiri padu serta pergerakan yang pantas merupakan elemen utama mengapa bintang bola sepak negara, Safawi Rasid menjadi buruan kelab Portugal, Portimonese SC.

Rodiney Sampaio, Pengerusi kelab Portimonese SC, berkata, pihaknya telah mengikuti rapat perkembangan Safawi selama enam bulan ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim lepas terutama ketika aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Rodiney Sampaio berkara pemain sayap itu memiliki pakej lengkap untuk beraksi di Eropah dan beliau yakin kehadiran Safawi bukan saja akan meningkatkan tahap permainannya, malah mampu memperkuatkan kelab.

“Pemain ini mempunyai kemahiran teknikal dan kelajuan yang baik dan ini adalah sebab kami membawa dia untuk memperkasakan pasukan Portimonense SC untuk menjadi sebuah pasukan yang lebih kuat pada masa depan.

“Malah, saya harap Safawi Rasid akan berjaya seperti Shoya Nakajima. Dia akan membantu ramai pemain lain dan akan bermain di posisi sayap dan hadapan,” katanya kelmarin dalam sesi memperkenalkan Safawi.

Safawi berpindah secara pinjaman selama semusim ke Portimonense SC, namun diberi pilihan oleh JDT untuk membeli secara tetap.

Beliau sudah meledak 47 gol dalam 101 penampilan bersama JDT selepas menyertai skuad JDT pada 2017.

Jelas Sampaio yakin Safawi mampu mengikut jejak beberapa pemain Jepun yang berjaya mengetuk pintu kelab lebih ternama seperti FC Porto atau Sporting Lisbon.

“Ramai masih belum tahu mengenai Safawi dan keadaan sama seperti ketika kami membeli Shoya Nakajima dari FC Tokyo pada 2017, tapi saya harap dia dapat capai kejayaan sama seperti Nakajima,” katanya.

Sementara itu, Safawi yang sepatutnya menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari, bagaimanapun diberi kebenaran untuk menjalani latihan bersama rakan sepasukan selepas didapati bebas daripada Covid-19.

Menerusi video latihan yang dimuat naik kelab terbabit, Safawi kelihatan gembira dan selesa berlatih di bawah kendalian Paulo Sergio.

Artikel Penuh : Harian Metro