Johor Darul Ta’zim (JDT) menutup saingan Liga Super 2020 dengan rekod tanpa kalah selepas mencatat kemenangan pada aksi terakhir menewaskan Melaka 5-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.
JDT yang sudah dinobatkan juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut selepas menewaskan Sabah 4-1, menguasai hampir keseluruhan babak pertama namun gagal memecah kebuntuan jaringan selepas Melaka kental bertahan.
Malah beberapa peluang yang terhidang berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali.
Peluang terbaik JDT mencipta gol pembukaan hadir pada minit ke-19 menerusi Gonzalo Cabrera namun sepakan kencangnya berjaya ditepis keluar Norazlan.
Melaka United yang sesekali memasuki kawasan pelawat turut memiliki peluang menjaringkan gol namun percubaan lemah Sony Norde berjaya diselamatkan penjaga gol Mohd Farizal Marlias pada minit ke-30.
Kedudukan kekal terikat tanpa jaringan. 0-0 sehingga tamat permainan separuh masa.
Babak kedua menyaksikan anak buah Benjamin Mora terus berusaha gigih memecah kubu pertahanan Melaka namun tandukan kencang Gonzalo berjaya diselamatkan Norazlan.
Kekebalan benteng tuan rumah bagaimanapun rapuh apabila JDT mencipta jaringan pertama menerusi sepakan penalti Leandro Velazquez pada minit ke-70.
Gol itu jelas menyemarakkan semangat pelawat yang menambah empat lagi jaringan menerusi Shafiq Ahmad pada minit ke-75 diikuti tandukan Aidil Zafuan Abd Razak (m-78), Fernando Rodriguez (m-84) dan Leandro Velazquez (m-90).
Artikel Penuh : Berita Harian
Foto : Melaka United