Tonggak sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid terbang ke Portugal malam tadi bagi menyertai kelab utama Liga Premier, Portimonense SC.

Safawi, 23, berhijrah secara pinjaman selama semusim dengan kelab utama Portugal itu.

Situasi seperti itu banyak memihak kepada Safawi kerana status yang terjamin apabila beliau masih terikat dengan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT). 

Tidak seperti apabila seseorang pemain itu jika dibeli oleh sesebuah pasukan. Masa depan pemain itu belum terjamin lebih-lebih lagi jika pemain tersebut tidak ‘perform’ bersama pasukan baru itu.

Namun ada beberapa kemungkinan buat masa depan Safawi dan JDT.

Sekiranya beliau sukar dan tidak menonjol dengan Portimonense SC, maka beliau boleh pulang ke JDT dan jalani saingan dalam Liga tempatan.

Namun sekiranya Safawi Rasid berjaya menempatkan diri dalam kesebelasan utama kelab tersebut, ada kemungkinan kontrak beliau akan disambung dan bertukar kepada pembelian perpindahan. 

Ia akan sudah tentu menguntungkan JDT dan Safawi mengikut nilainya. Lebih menguntungkan lagi dan berkemungkinan sekiranya prestasi Safawi cemerlang di Portimonense, ia akan membuka luas pasaran beliau di rantau Eropah.  

Jelas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, dia sangat gembira dan tidak sabar untuk melebarkan sayap ke Eropah.

“Saya sangat gembira kerana peluang ini datang sekali seumur hidup, pengalaman ini tidak boleh dibeli dengan wang dan ini (perpindahan) akan saya ingat sampai bila-bila,” katanya malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dia yang ditemani ahli keluarganya di KLIA menaiki pesawat British Airways ke London sebelum meneruskan perjalanan ke Porto, Portugal yang dijangka tiba jam 12 tengahari waktu tempatan atau jam 7 petang tadi waktu Malaysia.

Safawi bakal dijemput oleh ejennya dan akan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di sana.

Semoga Safawi beroleh kejayaan dan cemerlang bersama pasukan baharu beliau.

Foto : The Photoshooterz