‘Resume’ Safawi Rasid jelas mengagumkan apabila kelab dari Portugal, Portimonense SC yang hnya memerlukan enam bulan sebelum tertarik dengan kemampuan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Perkara itu didedahkan media tempatan negara berkenaan (Portugal), O Jogo yang melaporkan kelab berpengkalan di Algarve itu yang mengikuti rapat perkembangan pemain berusia 23 tahun itu dan seterusnya bersetuju menawarkan kontrak selama semusim tanpa mendedahkan nilai perpindahannya.

“Dengan status sebagai pemain muda terbaik, Portimonense SC percaya dia pemain paling berpotensi di negaranya dan salah seorang bintang di benua Asia yang dijangka menyerlah pada masa akan datang.

“Perjanjian sudah dimeterai dan ia dapat dijayakan menerusi hubungan baik antara pemegang saham terbesar pasukan, Theodoro Fonseca dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” lapor media terbabit.

Dalam laporan itu turut menyebut betapa perpindahan itu dilihat memberi anjakan dan perkembangan positif terhadap bola sepak Malaysia.

Jurulatih Portimonense SC, Paulo Sergio yang sebelum ini menunjukkan minat untuk mendapatkan seorang lagi pemain sayap kini memiliki pemain muda berpotensi untuk diketengahkan ketika ini.

Sebelum ini Pengarah Sukan JDT, Martin Prest telah mengesahkan pasukan itu menerima tawaran daripada Portimonense untuk Safawi dan bersedia untuk melepaskan pemain itu bagi meneruskan kariernya di Eropah.

Perpindahan itu telah mendapat ‘restu’ Tunku Ismail sekali gus menyaksikan impian Safawi untuk menggegar bumi Eropah menjadi kenyataan.

“Lepaskan selepas habis league (liga), All the best Safawi,” kata Tunku Ismail menerusi kenyataan di Instagram pasukan Harimau Selatan sebelum perpindahan tersebut. 

Sumber : Berita Harian

Foto : The Photoshooterz